Mahkamah dan Jenayah Negara

Ajal dirempuh ketika keluar dari masjid

KAMPAR: Lelaki warga emas yang dalam perjalanan dari masjid selepas solat Jumaat, maut selepas motosikal yang ditunggang dirempuh sebuah lori di Kilometer 26.5, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, di sini, petang tadi.

Kejadian sekitar jam 2 petang itu mengakibatkan mangsa, Mazlan Ahmad, 68, yang menunggang motosikal Honda EX5 meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah ketika sedang keluar dari perkarangan Masjid Jamek Kampung Jeram, di sini.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud, berkata siasatan awal mendapati motosikal mangsa dirempuh lori jenis Nissan dipandu seorang lelaki berumur 25 tahun yang sedang bergerak dari arah Simpang Pulai ke Bidor.

“Mangsa keluar secara mengejut dari kawasan Masjid Jamek Kampung Jeram sebelum kemudiannya dilanggar lori dari bahagian belakang motosikal.

“Dipercayai, mangsa memasuki laluan utama tanpa memberi laluan yang menyebabkan pelanggaran dengan lori berkenaan yang berada di lorong menghala Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemandu lori bagaimanapun tidak mengalami kecederaan, dengan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kampar untuk proses bedah siasat.

Video rakaman kamera papan pemuka kenderaan memaparkan nahas itu turut tular di media sosial hari ini, di mana memperlihatkan mangsa yang sedang berkain pelikat dan berkopiah yang menunggang motosikal, kemudiannya dirempuh lori. – Harian Metro

Related Posts