Negara

UMNO tolak program babitkan arak, akan bawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri

JOHOR BAHRU: UMNO menolak sekeras-kerasnya tindakan menghidangkan minuman alkohol pada Majlis Makan Malam Global anjuran Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia).

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun kerajaan menghormati agama dan budaya masyarakat berbilang kaum, penganjuran acara rasmi kerajaan perlu mengambil kira sensitiviti umat Islam sebagai agama rasmi.

Katanya menyifatkan perbuatan itu dianggap tidak wajar serta bercanggah dengan kedudukan Malaysia sebagai negara Islam.

“Tentunya kita harus menolak dan kita mesti tidak bersetuju dengan program berkenaan.

“Malaysia adalah negara Islam, biarpun kita menghormati agama, budaya dan kelaziman agama lain tetapi ini adalah acara kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Skuad Yayasan Pelajaran Mara 2025 Peringkat Negeri Johor di Stadium Tertutup Arena Larkin, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata perkara itu akan dibawa untuk dibincangkan di peringkat Mesyuarat Jemaah Menteri atas dasar ketidaksetujuan terhadap penganjuran acara sedemikian.

“Saya sendiri akan membawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri atas ketidaksetujuan UMNO, dan sebagai Presiden parti, kita menolak 100 peratus acara itu kerana ia adalah adalah acara yang tidak pernah diadakan di negara kita,” katanya.

Terdahulu, tular beberapa gambar memaparkan program di bawah Tourism Malaysia menyajikan hidangan arak dalam sebuah acara. – Harian Metro

Related Posts