ALOR SETAR: Kerajaan Kedah memutuskan untuk tidak memperbaharui lesen perniagaan vape yang tamat pada tahun ini sebagai langkah drastik membanteras penularan dadah sintetik yang semakin membimbangkan.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, keputusan itu diambil kerana dadah sintetik melalui vape kini menjadi ancaman utama apabila bahan terlarang itu diedarkan secara meluas termasuk kalangan pelajar sekolah.
Menurutnya, isu tersebut antara dibangkitkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah peringkat negeri yang dipengerusikan beliau pada Selasa.
“Vape kini menjadi saluran baharu untuk salurkan dadah. Satu titik cecair vape ini boleh dicampur bernilai sekitar RM10, boleh dikongsi sehingga 10 orang.
“Ia jauh lebih berbahaya berbanding kaedah lama seperti rokok berbalut ganja atau suntikan.
“Lebih membimbangkan, dadah dalam bentuk cecair ini dijual secara dalam talian dan sukar dikesan.
“Disebabkan itu, kerajaan negeri memutuskan untuk tidak menyambung mana-mana lesen vape yang tamat tahun ini dan tidak akan keluarkan lesen baharu mulai tahun hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini pada Rabu.
Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri memandang serius gejala dadah yang disifatkan sebagai ‘kudis dan barah’ dalam masyarakat dan perlu dibanteras secara menyeluruh.