Negara Negeri

Pengamal media salut hero wira merah

MARANG: Seramai 43 pengamal media menamatkan latihan dalam program kolaborasi Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Akademi Bomba Dan Penyelamat Malaysia, Wakaf Tapai Terengganu (FRAM) Wilayah Timur di sini yang berlangsung 21 hingga 22 September lalu.

Program yang julung kali diadakan di peringkat kebangsaan itu disertai ahli daripada Kelab Wartawan Media Terengganu – KAWAT, Kelab Media Putrajaya, Kelab Media Elit Kedah, Kelab Media Johor (KMJ), Kelab Media Kuala Lumpur & Selangor (KamiKLS) serta Kelab Pengamal Media Melaka (PENDIKA).

Pelbagai aktiviti dilaksana menguji ketahanan fizikal dan mental. Bermula dengan latihan di ‘Breathing Apparatus Training Gallery’ (BATG) dengan menempuh pelbagai halangan dalam keadaan gelap dan ditambah ruang yang terhad, memang menduga seluruh deria serta komunikasi sebagai satu pasukan untuk mencari jalan keluar.

Ia diteruskan dengan latihan ‘rappelling’ membina keyakinan diri melawan perasaan gayat untuk menuruni bangunan setinggi 10.95 meter.

PESERTA program kolaborasi GKMM bersama JBPM berhadapan cabaran memadam kebakaran berpunca daripada tumpahan minyak

Paling mencabar peserta adalah latihan memadam kebakaran berpunca daripada tumpahan minyak (oil spill) dan peserta perlu mengawal serta memadam kebakaran berkenaan.

Pada latihan itu, setiap peserta perlu membawa tangki oksigen seberat 20 kilogram dan peralatan khas lain serta uniform lengkap.

SEORANG peserta sedang menjalani latihan ‘rappelling’ menuruni bangunan setinggi 10.95 meter.

Sementara itu, pada hari terakhir pula, peserta mengikuti latihan asas menyelamat di air dan hutan di Hutan Lipur Sekayu, Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Peserta telah diberi tunjuk ajar perawatan awal serta teknik CPR diuji keberanian menyeberangi air terjun yang deras menggunakan tali, selain mempelajari cara apung badan di air.

LATIHAN menguji keberanian menyeberangi air terjun yang deras menggunakan tali,

Majlis penutup program kolaborasi GKMM bersama JBPM itu dirasmikan  Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Ts Nor Hisham Mohammad.

Turut hadir Pengarah JBPM Negeri Terengganu, Nor Mahathir Muhamad dan Komandan FRAM Wilayah Timur, Ts. Dr. Ahmad Faiz Tharima @ Zainuddin

Hadir sama Presiden GKMM, Mohamad Fauzi Ishak dan Presiden KAWAT, Ahmad Syafri Husnaini Mohamad.

NOR Hisham Mohammad bergambar bersama pengamal media yang menyertai program kolaborasi GKMM bersama JBPM di FRAM Wilayah Timur, Marang.

Pada majlis penutup itu, Nor Hisham mengumuman program kolaborasi GKMM bersama JBPM itu akan berlangsung di Pulau Tioman pada tahun hadapan.

Sementara itu, seorang peserta yang jurugambar Utusan Malaysia/Kosmo, Shahir Noordin berkata, dia berbangga dapat menyertai program latihan kebombaan yang berlangsung selama dua hari itu.

“Saya cukup teruja mengikuti latihan tersebut terutamanya cabaran memadam kebakaran yang berpunca daripada tumpahan minyak.

SEBAHAGIAN pengamal media teruja mengikuti program kolaborasi GKMM bersama JBPM yang berlangsung di di FRAM Wilayah Timur, Marang.

“Kami peserta yang terpaksa membawa tangki oksigen seberat 20 kilogram dan beruniform lengkap secara berpasukan berhadapan dengan cabaran memadam kebakaran tersebut.

“Memang padu dia punya bahang, dengan api menyambar depan muka. Kita tak boleh berganjak selagi tak tutup kepala hose minyak yang bocor tu. Kalau sorang lari confirm semua berselerak. Auto abam rasa respect hero-hero bomba kita,” ujarnya. – Suara Timur

Related Posts