TAWAU: Seorang penceramah bebas sempat melaungkan azan ketika kebakaran beberapa kediaman di Kampung Baru Batu 2, di sini, awal pagi ini, sebelum rebah akibat sesak nafas.
Bagaimanapun, Ustaz Ahmad Abdul Malik, 60, yang juga guru agama, imam dan Pengerusi Masjid Baiturrahman disahkan meninggal dunia beberapa jam kemudian di hospital.
Menurut kenalan rapatnya, Amran Lahamin, 50, kebakaran berlaku jam 3 pagi membabitkan beberapa rumah termasuk kediaman Ustaz Ahmad.
“Ketika sedang membantu menyelamatkan barangan penduduk, api semakin marak dan memusnahkan tiga rumah berdekatan.
“Ketika itu, Ustaz Ahmad sempat melaungkan azan sebelum beliau rebah dan dibawa ke hospital, namun disahkan meninggal dunia beberapa jam kemudian.
“Dalam kejadian itu, bahagian dapur Ustaz Ahmad hanya terbakar sedikit akibat terkena bahang,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini
Amran berkata, Ustaz Ahmad seorang guru agama yang sangat berdedikasi dan sering menjadi rujukan masyarakat setempat dalam hal ehwal agama.
Difahamkan jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islamiah Tawau, selepas solat Zuhur.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian jam 3.17 pagi sebelum sepasukan 25 anggota dikejarkan ke lokasi.
“Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran dari terus merebak dan menyelamatkan 47 rumah berhampiran kawasan kebakaran.
“Tiga rumah terbakar sepenuhnya dan operasi terkawal jam 4.04 pagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini. – Harian Metro