PADANG BESAR: Tiga sahabat warga emas mula memasuki Thailand melalui pintu sempadan di Padang Besar, Perlis untuk
menunaikan haji di Makkah dengan menunggang basikal pada 28 Januari lalu.
Warga emas, Che Saad Noordin, 75, serta Ramli Osman, 70, dan adiknya Azmi, 55, masing-masing berasal dari Kedah dilepaskan secara rasmi pada 14 Januari lalu
oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr. Muhamad Akmal Saleh di Merlimau, Melaka.
Che Saad berkata, dia pernah berkayuh untuk menunaikan haji pada 2023 namun gagal selepas tersekat di Pakistan susulan cuaca sejuk melampau sehingga terpaksa berpatah balik ke Malaysia.
“Kali ini saya bertekad untuk kembali berkayuh ke Makkah bersama dua rakan yang juga memiliki keazaman sama. Moga Allah permudahkan kayuhan dan kami dapat menunaikan haji kali ini.
“Kami dijangka sampai di Makkah pada bulan Mei ini. Apa yang melegakan kami YB Akmal bersetuju untuk menaja visa haji kami nanti.
“Dan kami harap dapat bertemu YB Akmal di Makkah pada Mei berikutan beliau juga dijadualkan menunaikan haji tahun ini,” katanya.
Dia yang ditemui ketika menghampiri Hutan Simpan Sungai Udang, di sini, hari ini, berterima kasih kepada bekas wartawan sukan Datuk Jasni Shafie yang menaja tiga basikal mereka.
Ramli pula berkata, biarpun tidak pernah ke Makkah namun dia juga mengimpikan menunaikan haji tahun ini biarpun dengan menunggang basikal.
Mengakui sumber kewangan terhad, dia mengucapkan terima kasih kepada Che Saad dan semua pihak yang membantu dan menghulurkan sumbangan sebelum dan sepanjang perjalanan ke tanah suci.
“Saya mengharapkan doa semua agar perjalanan kami selamat dan tidak menghadapi masalah,” katanya. – Suara Timur