Negara

RM8,000 satu kepala

PUTRAJAYA: Walaupun berdepan risiko didakwa di mahkamah dan dikenakan kompaun namun ‘majikan degil’ tetap menggajikan pekerja pendatang asing tanpa izin (Pati) yang sanggup bekerja dengan gaji lebih rendah.

Malah, terdapat majikan yang disenarai hitam turut menggunakan ejen haram bagi membekalkan pekerja asing dengan bayaran RM8,000 setiap seorang.

Bagi tempoh tiga tahun sahaja, terdapat seramai 2,368 majikan ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kerana mengambil Pati sebagai dengan kompaun lebih RM40 juta dan 1,034 majikan didakwa di mahkamah.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Pengarah JIM Datuk Zakaria Shaaban berkata, bagi tempoh 2023 hingga tahun ini seramai 2,368 majikan sudah diambil tindakan dalam penguatkuasaan JIM di seluruh negara dengan jumlah kompaun berjumlah RM43,160,350.

Menurutnya, seramai 605 majikan ditahan pada 2023 dengan kompaun RM10,622,500 dan 386 majikan didakwa di mahkamah, manakala seramai 1,123 majikan ditahan dengan kompaun RM19,655, 350 dan 462 majikan didakwa pada 2024.

“Untuk tahun ini, seramai 640 majikan ditahan membabitkan kompaun RM12,882,500 dan 186 sudah didakwa di mahkamah.

“Terdapat beberapa modus operandi sindiket yang menggajikan pekerja warga asing secara haram untuk mengelakkan dikesan pihak berkuasa,” katanya secara ekslusif kepada Harian Metro.

Zakaria berkata, antara modus operandi itu adalah penggunaan ejen haram serta dokumen palsu.

Menurutnya, sindiket itu sering menggunakan ejen haram untuk membawa masuk pekerja asing dengan menyediakan dokumen palsu atau tidak sah.

“Sebagai contoh, dalam satu operasi khas oleh JIM, enam individu ditahan dan sejumlah 394 pasport Bangladesh, enam pasport Indonesia, dua pasport India, sembilan pasport Pakistan dan satu pasport Filipina dirampas.

“Ejen haram ini membekalkan pekerja asing kepada majikan yang disenarai hitam dengan bayaran RM8,000 setiap seorang.

“Beberapa sindiket mengeksploitasi program Rekalibrasi Tenaga Kerja dan kuota pekerja asing yang diluluskan untuk membekalkan tenaga kerja kepada majikan yang disenarai hitam dengan mengenakan bayaran tinggi untuk perkhidmatan ini,” katanya.

Beliau berkata, sindiket menggunakan premis tertentu sebagai rumah transit untuk menyembunyikan pekerja asing sebelum dibekal kepada majikan.

“Dalam satu kes, lima wanita warga India disembunyikan di dalam tandas sebuah premis bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

“Mereka dipercayai tinggal di rumah terbabit selama hampir tiga minggu sementara menunggu dibekalkan kepada majikan baharu,” katanya.

Menurutnya, selain membekalkan pekerja asing, sindiket menawarkan perkhidmatan lanjutan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dengan kadar bayaran antara RM4,000 hingga RM6,000 setahun bagi setiap pekerja.

“Ini dilakukan tanpa melalui saluran yang sah dan bertujuan mengelakkan pengesanan oleh pihak berkuasa.

“Bagi kesalahan menggaji warga asing tidak sah, ia satu kesalahan mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 Akta 155.

“Majikan juga boleh disabitkan kesalahan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) jika wujud unsur eksploitasi atau pemerdagang manusia,” katanya. – Harian Metro

Related Posts