Negara

STPM 2024 catat keputusan tertinggi dalam sejarah

SELAYANG: Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 menunjukkan peningkatan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) dengan catatan 0.01 mata kepada 2.85, berbanding 2.84 tahun lalu, sekali gus merekodkan pencapaian tertinggi sejak peperiksan STPM dilaksanakan.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata prestasi keseluruhan calon turut memberangsangkan dengan seramai 1,266 calon atau 3.06 peratus mendapat PNGK 4.00 berbanding 1,116 calon pada 2023.

“Dari segi pencapaian PNGK calon, secara keseluruhan didapati bilangan longgokan dan peratusan longgokan calon STPM 2024 pada PNGK 3.75, PNGK 3.00, PNGK 2.75 dan PNGK 2.00 meningkat berbanding 2023. “Dengan peningkatan bilangan calon pada PNGK, maka insya-Allah lebih ramai calon lepasan STPM 2024 diterima masuk ke universiti awam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM 2024 dan Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Terbaik STPM, MUET dan Sijil Kecekapan Bahasa Melayu Bagi Warga Asing (SKBMW) di Dewan Besar MPM, di sini, hari ini.

Sementara itu, jumlah calon yang memperoleh 5A meningkat kepada 53 calon, manakala 4A seramai 1,228 calon, berbanding tahun sebelumnya.

“Peratusan calon STPM 2024 yang mendapat lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran berbanding STPM 2023 didapati meningkat sedikit, iaitu 0.70 peratus, dengan 201 calon — daripada 75.85 peratus (31,516) pada 2023 kepada 76.55 peratus (31,717) pada 2024,” maklumnya lagi.

Menurut Md Amin, daripada 41,434 calon yang hadir, seramai 99.97 peratus atau 41,422 calon layak dianugerahkan Sijil STPM 2024, di mana syarat kelayakan ialah memperoleh lulus sebahagian sekurang-kurangnya dalam satu mata pelajaran.

“MPM juga memilih 20 pelajar STPM terbaik kebangsaan mengikut kategori untuk diberikan anugerah berupa wang tunai bernilai RM1,000, plak dan sijil daripada MPM.

“Ia termasuk lapan pelajar terbaik kebangsaan Aliran Sains, (8) Aliran Sains Sosial, (1) kategori Orang Asli, (3) pelajar terbaik kebangsaan kategori Calon Berkeperluan Pendidikan Khas Spastik, Penglihatan buta serta Penglihatan rabun,” ujarnya.

Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan MPM memberikan anugerah kepada Pusat Tingkatan Enam yang memperoleh pencapaian Gred Purata Pusat Tingkatan Enam terbaik, dan mempunyai bilangan calon sekurang-kurangnya 40 orang.

Related Posts