WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengenakan tarif mengejut sebanyak 104 peratus ke atas semua barangan import dari China berkuat kuasa hari ini (Rabu), umum Setiausaha Akhbar White House, Karoline Leavitt pada Selasa.
Ini merupakan tambahan kepada tarif sedia ada terhadap China sebelum penggal kedua Trump bermula.
China pada asalnya dijangka menghadapi kenaikan tarif sebanyak 34 peratus pada Rabu sebagai sebahagian daripada pakej tarif ‘timbal balik’ Trump.
Bagaimanapun, Presiden Trump menambah lagi 50 peratus selepas Beijing tidak menarik balik janjinya untuk mengenakan tarif balas sebanyak 34 peratus ke atas barangan AS sebelum tengah hari Selasa, menjadikan jumlah keseluruhan tambahan tarif kepada 84 peratus.
Pada awal Selasa, Kementerian Perdagangan China menyatakan mereka “tegas menentang” tambahan tarif 50 peratus terhadap import China dan menyifatkannya sebagai “satu kesilapan di atas kesilapan.”
Kementerian itu berikrar akan meningkatkan tindakan balas mereka terhadap eksport AS.
Pasaran saham AS, yang melonjak pada pagi Selasa mula menurun selepas kenyataan Leavitt.
Menjelang jam 3 petang waktu Timur, indeks Dow Jones, Nasdaq dan S&P 500 semuanya berada dalam zon negatif. – Sinar Harian