Negara

Titah Adendum, hormati proses dan undang-undang – Sultan Pahang

KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar semua pihak menghormati proses dan undang-undang yang telah ditetapkaan serta tidak menimbulkan sebarang kekeliruan berkaitan Titah Adendum.

Baginda bertitah, perkara itu berada di bawah bidang kuasa pihak yang bertanggungjawab dan berintegriti.

“Saya juga menyeru semua pihak agar berpegang teguh kepada nilai kejujuran, amanah, saling menghormati dan bersikap terbuka dalam menyelesaikan sesuatu perkara.

“Dengan semangat ini, Insya-ALLAH negeri Pahang akan terus menjadi negeri yang harmoni dan sejahtera,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika berkenan berangkat ke Majlis Himpunan Pahang Bermunajat, Raja Berdaulat bertempat di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, di sini pada Khamis.

Keberangkatan baginda diiringi Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Titah baginda, perpaduan kunci utama kepada keamanan dan kemakmuran negeri.

“Jangan biarkan perbezaan fahaman dan kepentingan kecil memecahbelahkan kita sebaliknya mari bersama kukuhkan ukhwah dan belerja ke arah kesejahteraan bersama.

“Bersatu hati dan berpegang teguh kepada ajaran Islam demi mempertahankan keharmonian yang dikecapi selama ini,” titah baginda.

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah mengingatkan semua pihak agar tidak mempolitikkan keberangkatan baginda ke Majlis Himpunan Pahang Bermunajat Raja Berdaulat.

“Saya datang semata-mata untuk bermunajat, menyembah kepada Allah SWT, berdoa supaya kita, negeri Pahang, rakyat Pahang akan sentiasa diberkati, sentiasa dilindungi dan sentiasa dirahmati Allah SWT,” titah baginda. –  Sinar Harian

Related Posts