Oleh BAZLI RAZAK
PUTRAJAYA: Perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam landskap komunikasi masa kini menuntut kawal selia yang bertanggungjawab serta integrasi strategik antara sektor pendidikan dan komunikasi demi membentuk masyarakat celik maklumat dan berdaya saing.
Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi), Kementerian Komunikasi, Mano Verabathran berkata, era digital menampilkan cabaran baharu dalam penyampaian maklumat dan pendidikan, sekali gus memerlukan sinergi antara kementerian serta institusi berkaitan untuk memastikan transformasi teknologi berlaku secara inklusif dan seimbang.
“Walaupun Kementerian Komunikasi dan Kementerian Pendidikan Tinggi kelihatan sebagai dua entiti berbeza, kedua-duanya berkongsi matlamat nasional yang sama iaitu membangunkan sumber manusia berkualiti tinggi dan infrastruktur komunikasi yang kukuh.
“Di sinilah titik temu antara IPPTAR dan UPSI dalam menjayakan GLOCOM 2025,” katanya ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Komunikasi, Budaya dan Media Kontemporari (GLOCOM 2025) di Hotel The Everly Putrajaya, kelmarin.

GLOCOM 2025 anjuran bersama Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) dan Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) UPSI yang berlangsung selama 3 hari itu bertemakan Navigating the Digital Age Through the Perspective of Communication and Media, mengangkat peranan teknologi, khususnya AI, dalam membentuk masa depan komunikasi dan pendidikan.
Menurut beliau, GLOCOM 2025 memberi ruang kepada lebih 50 peserta yang terdiri dari mahasiswa serta ahli akademik membentangkan kertas kajian melibatkan topik seperti Pendidikan Media, Media Sosial dan Digital serta AI.
Mengulas lanjut, beliau berkata, AI kini digunakan secara meluas dalam industri media melalui sistem chatbot, analisis ramalan dan automasi data, yang secara langsung memberi impak besar kepada kualiti dan keberkesanan penyampaian maklumat.
“AI juga membantu wartawan dan pengamal media menapis fakta secara efisien dan menghasilkan kandungan lebih berkualiti. Namun dalam kita meraikan kecanggihan teknologi ini, aspek tatakelola yang telus dan nilai budaya tempatan mesti diutamakan,” ujar beliau.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Prof. Dr. Suriani Abu Bakar pula menyifatkan penganjuran berterusan persidangan tersebut sebagai manifestasi semangat intelektual dalam memartabatkan bidang komunikasi di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Persidangan ini membuka ruang ilmiah untuk para sarjana, penyelidik, pelajar dan pengamal industri berkongsi dapatan serta pandangan kritikal terhadap isu semasa komunikasi digital masa kini.
Menurut beliau, dalam dunia yang semakin kompleks dan didorong oleh teknologi, komunikasi bukan lagi berperanan sekadar menyampaikan maklumat, malah berperanan mencorak naratif, membentuk persepsi dan mempengaruhi tindakan masyarakat.
“Dalam era digital ini, komunikasi bukan lagi sekadar penyampai berita, tetapi ia ibarat kompas dalam pelayaran maklumat, yang menentukan arah pemahaman dan tindakan masyarakat,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah IPPTAR, Roslan Ariffin berkata, GLOCOM 2025 dirancang sebagai medan intelektual untuk memperkasa perbincangan mengenai media dan komunikasi dalam menghadapi perubahan global dari pelbagai perspektif antarabangsa.

“Dari medan wacana ke helaian ilmiah, dapatan kajian persidangan ini akan diterbitkan dalam jurnal berindeks SCOPUS, yang menjadi pemangkin kepada penjenamaan jurnal tempatan, Media, Communication and Broadcasting (MECAST) agar gah di pentas antarabangsa,” katanya. – Suara Timur