Negara Politik

Gambar MB Terengganu didakwa ditahan tular di media sosial

KUALA TERENGGANU – Sekeping gambar memaparkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar didakwa ‘ditahan’ pihak berkuasa di sebuah lapangan terbang, tular di media sosial pada Sabtu.

Difahamkan, gambar berkenaan dirakam oleh seorang individu yang mendakwa kebetulan berada di lokasi kejadian ketika menghantar kumpulannya menaiki kapal terbang.

Berdasarkan keterangan gambar tersebut, Ahmad Samsuri didakwa ditahan oleh beberapa pegawai sebaik tiba di pintu masuk balai pelepasan sebelum dibawa ke tepi untuk pemeriksaan lanjut.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar Terengganu mahupun pihak berkuasa berhubung penyebaran gambar berkenaan.

Sebelum ini, Ahmad Samsuri dalam kenyataan berkata, beliau telah dilabel sebagai individu di bawah pemantauan Pejabat Kawalan Perjalanan (TCO) sejak tahun lalu sehingga pergerakannya dipantau secara ketat oleh pihak tertentu.

Menurutnya, beliau juga perlu melalui prosedur kawalan keselamatan ketat, termasuk ketika berada di sempadan Sabah dan Sarawak, selain memerlukan kelulusan khas sebelum dibenarkan melakukan perjalanan ke destinasi tertentu.

Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menegaskan, tiada keperluan untuk meletakkan Ahmad Samsuri dalam Senarai Pekeliling Khas (SPK) kerana beliau bukan seorang penjenayah.

Jelasnya, dakwaan Ahmad Samsuri bahawa dirinya diletakkan di bawah status individu berisiko walaupun tanpa sebarang kesalahan sahih adalah tidak benar. – Sinar Harian

Related Posts