KUALA LUMPUR: Beras putih tempatan 10 kilogram (kg) yang dijual pada harga RM26 didakwa mengandungi sehingga 40 peratus beras hancur.
Dakwaan itu dibuat Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (BEBAS-Bukit Gantang) ketika membahaskan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam perbahasannya, Syed Abu Hussin turut menepis kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh, yang memaklumkan berlaku lambakan beras tempatan di pasaran kerana tiada pembeli.
“Sekarang bukan hanya isu manipulasi beras tempatan, tetapi kualiti beras yang dijual pada harga RM26 itu sangat rendah. Sebab itu tiada pembeli.
“Sebenarnya, bukan kerana tiada pembeli tetapi beras itu dibungkus dengan kualiti sangat rendah, mengandungi sehingga 40 peratus beras hancur. Siapa yang mahu makan beras hancur? Standard biasa hanya sekitar 15 hingga 17 peratus sahaja,” katanya yang juga Ketua Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL).
Sebelum ini, Fuziah dilaporkan berkata, lambakan beras putih tempatan berpotensi menjejaskan jualannya di pasaran, selain menyebabkan permintaan menurun di kebanyakan kawasan termasuk pasar raya dan program Jualan Rahmah MADANI.
Syed Hussin turut mempersoalkan tindakan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) yang didakwa gagal menurunkan harga beras import walaupun harga pasaran global kini turun.
“Beras import hanya dikuasai Bernas. Sekarang harga dunia sudah turun kepada RM1,494 satu tan metrik, ini harga semalam, yang kita hubungi pengimport beras dari Pakistan dan India. Tetapi mengapa ia masih dijual pada harga tinggi?
“Apakah kawalan yang dibuat terhadap BERNAS yang menetapkan harga sesuka hati tanpa memikirkan beban yang ditanggung oleh rakyat?” soalnya.
Beliau turut menyentuh mengenai tiga syarikat besar yang didakwa sebagai ‘kartel’ dan mengawal pembelian padi dan pengedaran beras.
Katanya, kewujudan kartel itu menyebabkan banyak kilang milik orang Melayu terpaksa ditutup kerana tidak mampu bersaing di pasaran.
“Isu padi dan beras ini belum selesai, ia dekat di hati orang Melayu.
“Pembeli padi utama sekarang adalah tiga syarikat besar yang kawal pembelian padi sehingga 70 peratus dan pengedaran beras.
“Mereka ini kartel besar tetapi tak boleh diambil tindakan walaupun (kegiatan) mereka ini diketahui, hingga kerajaan terpaksa memperuntukkan subsidi (untuk bantu pengilang padi),” katanya. – Berita Harian