Negara

Peserta Konvoi Kembara Jubli Emas Rukun Tetangga disambut meriah di KRT Taman Selesa

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN: Seramai 30 peserta Konvoi Kembara Jubli Emas Rukun Tetangga disambut meriah ketika tiba di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Selesa, Bandar Al-Muktafibillah Shah (AMBS),  di sini, semalam.

Peserta konvoi yang menunggang motosikal berkuasa tinggi diketuai Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Datuk Che Roslan Che Daud.

Sejurus tiba di KRT berkenaan, peserta konvoi disambut dengan persembahan Silat Jawi Terengganu.

CHE ROSLAN CHE DAUD

Pada majlis itu,  Che Roslan merasmikan logo baharu KRT dan pembukaan rasmi Pusat Komuniti (PUSKOM) KRT Taman Selesa.

Selain itu, beliau juga melancarkan Kempen #cakapbaikbaik secara gimik sebagai inisiatif menyemai nilai komunikasi positif dalam kalangan masyarakat.

Ketika berucap Che Roslan menekankan betapa pentingnya KRT sebagai pemacu komuniti harmoni dan progresif.

Menurut beliau, setiap KRT perlu menunjukkan komitmen yang tinggi dalam memastikan setiap program yang dijalankan memberikan impak positif kepada masyarakat setempat.

Dalam program itu, Che Roslan turut menyampaikan sijil penghargaan kepada beberapa rakan strategik seperti KETENGAH, Pejabat Daerah dan Tanah Dungun, IPD Dungun, Suruhanjaya Koperasi Malaysia serta KRT-KRT aktif yang cemerlang dalam pembangunan komuniti.

Che Roslan  juga melakukan gimik pecah tanah tapak kebun RT Progresif bagi tanaman Sorghum, iaitu sumber pertanian baharu yang diusahakan secara bersama oleh komuniti.

Program diakhiri dengan pelepasan peserta konvoi ke Hulu Terengganu, menghubungkan dua daerah dalam semangat kembara perpaduan.

Program Kembara Jubli Emas RT adalah satu daripada Kembara Perpaduan Malaysia MADANI, yang menjelajah ke enam negeri terpilih dalam rangka memperingati dan meraikan lima dekad penubuhan Rukun Tetangga sebagai entiti penting dalam landskap perpaduan negara. – Suara Timur

Related Posts