Negara

PM tambah peruntukan Himpunan RXZ Members 7.0 kepada RM300,000

KUALA NERUS:  Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyalurkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM300,000 kepada peserta Himpunan RXZ Members 7.0 yang berlangsung selama dua hari bermula Jumaat di Litar Permotoran Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak di sini.

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, daripada jumlah itu, RM100,000 adalah sumbangan Perdana Menteri manakala selebihnya hasil sokongan pelbagai pihak.

“Tambahan RM200,000 lagi merupakan hasil usaha beliau (Perdana Menteri) dengan mendapatkan sokongan daripada syarikat, korporat dan ahli perniagaan.

“Kita harap dengan bantuan kewangan ini, ia dapat menyuntik semangat kepada penganjur untuk terus mengadakan program seperti ini pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis perasmian acara itu di sini pada Sabtu.

Menurut beliau, Perdana Menteri turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa kemalangan maut ketika dalam perjalanan ke himpunan itu.

“Perdana Menteri turut menitipkan pesanan agar semua peserta sentiasa berhati-hati ketika pulang nanti,” katanya.

Mengulas dakwaan kononnya kerajaan negeri diketepikan dalam penganjuran program kali ini, beliau menegaskan Himpunan RXZ adalah anjuran pihak persendirian.

“Program ini diadakan setiap tahun dan mereka memohon pertimbangan daripada Perdana Menteri. Apabila Perdana Menteri melihat program ini menyatukan rakyat dari seluruh negara, beliau mahu memberikan semangat kepada penganjur yang rata-rata anak muda.

“Jadi jangan sempitkan pemikiran dengan mengaitkan perkara ini dengan politik kerana Perdana Menteri menyokong banyak program, termasuk RXZ 7.0,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengajak peserta RXZ 7.0 untuk turut serta dalam program solidariti Gaza yang akan diadakan di Dataran Merdeka pada Ahad, jam 8 malam.

“Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengajak semua peserta RXZ Members 7.0 untuk berkumpul pula di Dataran Merdeka esok, jam 8 malam untuk solidariti bersama di Gaza,” ujarnya. – Sinar Harian

Related Posts