KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa Malaysia tidak akan terjerumus ke dalam kemelesetan ekonomi buat masa ini, walaupun Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif.
Perdana Menteri menegaskan bahawa ekonomi negara kekal berdaya tahan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menyatakan Malaysia tidak akan memperkenalkan tarif balas.
“Jika tarif 24 peratus itu dilaksanakan, dari sudut ekonomi, unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2025 sebanyak 4.5 hingga 5.5 peratus perlu disemak semula.
Bagaimanapun, buat masa ini, saya memberi jaminan bahawa kerajaan tidak menjangkakan kemelesetan di Malaysia,” katanya dalam video yang menyentuh mengenai tarif AS itu disiarkan di Facebook hari ini.
Anwar berkata, asas makroekonomi negara kekal kukuh dan menjelaskan asas makroekonomi positif Malaysia disokong oleh perbelanjaan isi rumah yang kukuh, pelaburan domestik yang mantap, hasil pelancongan yang baik dan pelaksanaan berterusan pelan induk nasional.
Selain itu, Anwar berkata, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan mengemukakan kajian terperinci mengenai kesan tarif terhadap beberapa sektor eksport ke Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan.
Beliau berkata, Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz juga akan mengadakan mesyuarat secara maya bersama dengan menteri-menteri ekonomi ASEAN untuk menyediakan tindakan yang diselaraskan.
“Kajian impak ke atas sektor tertentu akan dijalankan untuk menentukan bentuk sokongan terhadap sektor yang dijangka terjejas teruk akibat pelaksanaan tarif,” katanya.
Anwar berkata, semua pilihan akan dikaji dan dipertimbangkan untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan sektor perniagaan negara. – Berita Harian