JITRA: Projek pembangunan sistem pengangkutan rel kereta api laju menggunakan teknologi maglev di Pulau Langkawi tidak diteruskan selepas pelabur dari Korea memutuskan untuk tidak melaksanakan pelaburan tersebut.
Exco Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Haim Hilman Abdullah berkata, keputusan itu dibuat selepas syarikat berkenaan menyiapkan kajian menyeluruh mengenai potensi pembangunan infrastruktur yang dijalankan pada tahun lalu.
Menurutnya, kerajaan negeri turut bersetuju bahawa pelaksanaan projek berimpak besar seperti maglev tidak perlu dilakukan terlalu awal kerana ia mungkin tidak memberi manfaat kepada semua pihak.
“Setelah mereka menunjukkan minat, langkah pertama kerajaan negeri ialah meminta mereka menjalankan kajian.
“Namun, hasil kajian mendapati belum lagi masanya untuk projek itu dilaksanakan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Aurelius Frontier Jitra, di sini pada Sabtu.
Pada 29 April 2024, Kedah mengumumkan rancangan membangunkan sistem pengangkutan rel kereta api laju maglev di Langkawi, apabila menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Royal Eco Train Development (RETD) Korea dengan Q-plex selaku rakan strategik di Malaysia, serta Permodalan Kedah Berhad (PKB).
Projek itu pada asalnya dirancang sebagai hab bersepadu merangkumi sistem rel moden serta pusat komersial, dengan tempoh kajian menyeluruh selama enam bulan oleh pakar dari Korea.
Haim Hilman berkata, syarikat Korea berkenaan masih menilai peluang lain untuk melabur di negeri ini, termasuk dalam sektor pembangunan berorientasikan transit serta pembangunan komersial biasa.
“Setelah kajian itu, mereka membuat keputusan untuk melihat perkembangan lain. Buat masa ini, mereka sedang teliti bentuk pelaburan lain yang bersesuaian di Kedah, kita terbuka untuk dengar segala cadangan mereka untuk meneruskan pelaburan di negeri ini,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan negeri mahu memastikan sesuatu pelaburan dibuat mengikut keperluan sebenar dan dalam perancangan yang rapi.
“Masa yang tepat adalah sangat penting. Dalam kegairahan kita menarik pelabur masuk, kita juga beri pandangan bagi memastikan sebarang keputusan berpandukan kepada kajian dan keperluan,” ujarnya.
Menurutnya lagi, pihaknya percaya apabila populasi Langkawi bertambah dan kemasukan pelancong semakin meningkat, keperluan terhadap sistem rel moden ini boleh dikaji semula pada masa hadapan.
“Walaupun projek maglev tidak diteruskan, kita mengalu-alukan pihak yang ingin bersama dalam pembangunan Pulau Langkawi,” katanya.
Dalam pada itu, Haim Hilman berkata, walaupun projek maglev tidak menjadi kenyataan, terdapat pelabur baharu yang mendapat kelulusan kerajaan negeri untuk membangunkan kawasan komersial dan perumahan berimpak tinggi di Langkawi.
“Pelaburan ini masih baharu, sudah ada permohonan dan akan diumumkan oleh Menteri Besar dalam masa terdekat. Negara pelabur juga akan didedahkan kemudian,” katanya. – Sinar Harian