Negara

CEO Pos Malaysia mohon maaf isu pakaian seragam rosak


SHAH ALAM:  Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Berhad (Pos Malaysia), Charles Brewer tampil membuat permohonan maaf berhubung responsnya terhadap isu dalaman berkaitan pakaian seragam kakitangan yang rosak baru-baru ini.

Beliau turut memohon maaf kepada kakitangan terkesan dan mana-mana pihak yang mungkin tersinggung dengan kenyataannya sebelum ini.

Jelasnya, responsnya seharusnya lebih berempati dan berjanji untuk terus membina budaya kerja saling menghormati serta menyokong semua warga Pos Wira.

“Kami sedang menambah baik proses dalaman kami untuk memastikan penggantian pakaian seragam dapat dilaksanakan dengan lebih cepat dan teratur.

“Komitmen ini dilakukan untuk memastikan setiap anggota Pos Wira dapat berkhidmat dengan selesa dan penuh keyakinan dalam menjalankan tanggungjawab kepada masyarakat,” katanya di Facebook pada Sabtu.

Baru-baru ini, seorang kakitangan Pos Malaysia memuat naik luahan hati tentang pakaian seragamnya yang rosak dan mempersoalkan bila akan menerima pakaian baharu.

Bagaimanapun, Brewer memuat hantaran balas dengan mengatakan pekerja itu bernasib baik kerana tidak bekerja dengan mana-mana syarikat penghantaran asing yang langsung tidak menyediakan pakaian seragam.

Tambah Brewer, pihaknya akan menangani isu dibangkitkan melalui hantaran di media sosial baru-baru ini melibatkan pakaian seragam yang rosak itu.

“Kami telah mengambil tindakan segera dengan berkomunikasi secara langsung dengan kakitangan yang terlibat dan isu ini telah berjaya diselesaikan sepenuhnya,” ujar beliau.

Menurut kenyataan itu lagi, Pos Malaysia turut berterima kasih atas perhatian dan sokongan semua. – Sinar Harian

Related Posts