TAPAH: Barisan Nasional (BN) menampilkan tiga tekad dan tujuh tawaran menerusi manifesto untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Sabtu ini.
Bertemakan ‘Ayer Kuning Sejahtera Bersama’, BN berhasrat menghubungkan inisiatif sosioekonomi selaras aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030, selain menjamin perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di DUN berkenaan.
Calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir ketika melancarkan manifesto berkenaan optimis untuk menolak sebarang sentimen perkauman dan politik kebencian yang memecahbelahkan rakyat.
Setiausaha UMNO Tapah itu juga mengakui perincian manifesto berkenaan dirangka menerusi cetusan harapan masyarakat setempat selepas pihaknya mendengar sendiri luahan dan aspirasi penduduk setempat.
Manifesto itu, katanya, bukan sekadar tawaran politik, sebaliknya ikrar, tanggungjawab dan komitmen lulusan Ijazah Doktor Falsafah (Pendidikan Islam) itu untuk turun padang, memberi khidmat terbaik dan mendengar suara rakyat.
“Saya akan berusaha menyampaikan perkhidmatan sedaya upaya demi memastikan setiap perkara dinyatakan dapat dilaksanakan penuh tanggungjawab.
“Insya-Allah, jika diberi kepercayaan sebagai wakil rakyat kawasan ini, saya akan pastikan visi Ayer Kuning Sejahtera Bersama diterjemahkan menjadi kenyataan.
“Saya mohon sokongan dan kepercayaan semua pengundi Ayer Kuning untuk bersama menjayakan tekad ini,” kata anak jati kelahiran Kampun Tersusun Haji Tahir itu di sini, hari ini.
Yang turut dihadiri, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan.
Memperincikan manifesto itu, Mohamad Yusri berkata, pihaknya turut menampilkan tujuh tawaran utama, antaranya ekonomi tempatan yang makmur dengan memperluas akses pasaran hasil tani dan produk kampung.
Pesara guru berusia 54 tahun itu juga berhasrat menyediakan geran khas bagi usahawan dan pekebun kecil serta penjaja, selain memperkasa keusahawanan melalui bimbingan dan e-dagang.
Beliau juga menawarkan hasrat untuk meningkatkan keupayaan sara hidup rakyat dengan memperluas program kedai bergerak dan jualan RAHMAH serta memberi peluang peniaga kecil tempatan dalam program kesejahteraan rakyat.
“Saya menawarkan pembangunan infrastruktur setempat dengan menambah baik jaringan jalan kampung dan kawasan pertanian.
“Selain itu, menyediakan ruang niaga berstruktur untuk penjaja kecil dan peniaga muda serta meningkatkan liputan dan jaringan komunikasi, terutama di kawasan perumahan baharu,” katanya.
Mengenai agenda anak muda, beliau menawarkan tajaan latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bidang pertanian moden, automotif dan digital dengan mewujudkan inisiatif pemadanan pekerjaan bersama sektor industri di Tapah, Kampar dan Slim River.
“Saya juga mengetengahkan tawaran prihatin golongan rentan dengan meluaskan akses keselamatan sosial kepada warga emas miskin, ibu tunggal dan Orang Asli.
“Kita turut menawarkan bimbingan dan kemudahan pendidikan, kesihatan, dan pembangunan koperasi masyarakat Orang Asli,” kata Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Anak-anak Tapah itu.
Bekas Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh itu juga mahu menawarkan pendidikan berkualiti untuk anak jati Ayer Kuning.
Beliau berhasrat memperjuangkan usaha menaik taraf kemudahan sekolah rendah, menengah dan prasekolah, selain menyediakan sokongan pendidikan dan kelas motivasi untuk pelajar sekolah rendah dan menengah.
“Saya juga berhasrat menawarkan perkhidmatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berjiwa rakyat menerusi pembukaan pusat khidmat dengan waktu operasi panjang, termasuk hujung minggu.
“Saya juga akan menjalankan lawatan berkala ke kampung dan taman untuk mendengar serta menyelesaikan masalah rakyat secara langsung,” katanya. – Berita Harian