SETIU: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa terbesar apabila merampas dadah seberat 590.18 kilogram (kg) bernilai lebih RM25 juta di dua lokasi berasingan di daerah ini, 23 April lalu.
Rampasan dadah jenis Methamphetamine dan heroin base itu hasil serbuan pertama di kawasan tebing Sungai Setiu dan kedua, di pesisir Pulau Tok Bilal, Sungai Setiu, pada 9 malam dan 10 malam.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Deputi Komisioner Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata, kesemua dadah itu dibawa masuk melalui kawasan ‘Golden Triangle’ dari Vietnam melalui perairan Kelantan dan Terengganu.
Ia akan dibungkus semula di sekitar Setiu bagi penghantaran melalui jalan laut untuk pasaran Australia.
Menurutnya, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Terengganu, Kelantan dan Pasukan Gerakan Marin (PGM) melakukan operasi berkenaan selepas menerima maklumat berkaitan sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang menjadikan Malaysia sebagai transit.
Beliau berkata, pada serbuan di sekitar Sungai Setiu, pihaknya menahan seorang lelaki berumur 32 tahun yang sedang memunggah beg daripada bot ke tebing sungai.
“Pemeriksaan menemukan 29 beg mengandungi 470 bungkusan Methamphetamine seberat 479.27kg dan 297 ketulan heroin base seberat 109.89kg.
“Pada serbuan kedua, kira-kira 500 meter dari lokasi pertama, kami menahan seorang lagi lelaki berusia 39 tahun bersama satu beg galas di dalam bot fiber mengandungi satu bungkusan Methamphetamine seberat 1.02kg,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu (IPD), di sini, hari ini.
Menurut beliau, dadah terbabit mampu merosakkan 2.95 juta orang yang menggunakannya.
Polis turut menyita antaranya Toyota Vios, Honda Civic, Honda EX5, barangan kemas serta wang RM1,631.
Beliau berkata, taktik sindiket ialah menggunakan bot sewa untuk menyeludup dadah masuk ke Malaysia sebelum ia diedar ke pasaran antarabangsa.
Katanya, bot disewa pada harga RM4,800 untuk pakej memancing tiga hari dua malam. Sindiket dikatakan aktif sejak Mac lalu.
“Mereka ini berada di kawasan berkenaan untuk melakukan pembungkusan semula dadah sebelum dihantar semula ke tengah laut dan menggunakan ‘yatch’ untuk dihantar ke Australia.
“Kedua-dua suspek yang juga anggota sindiket sama menerima upah RM50,000 untuk satu perjalanan. Mereka berasal dari Selangor dan Terengganu,” katanya.
Menurut beliau, kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan direman 14 hari sehingga 7 Mei ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – Harian Metro