Politik

UMNO tak boleh leka, perlu bersedia hadapi peperangan lebih besar – Presiden

KUALA LUMPUR: UMNO tidak boleh leka walaupun sedang melalui tanda kebangkitan dengan kemenangan melalui beberapa pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini termasuk yang terbaharu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ini kerana UMNO perlu berdepan dengan medan peperangan jauh lebih besar selepas ini.

Katanya, UMNO perlu lebih bersedia dalam menempuh peperangan itu termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Melaka dan Johor, sebelum berdepan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

“Ya, kita sudah mula menyaksikan tanda kebangkitan. Allah SWT mengurniakan kita kemenangan di Nenggiri, Mahkota, dan Ayer Kuning.

Kemenangan ini adalah milik seluruh jentera yang berjuang tanpa mengenal lelah di medan hadapan mahupun di balik tabir.

“Namun UMNO mesti melangkah ke medan perang dengan naratif yang lebih segar, komunikasi yang lebih strategik dan gerak kerja yang lebih tajam, lebih tuntas serta lebih berani.

“PRN Sabah bakal membuka gelanggangnya, disusuli PRN Melaka, PRN Johor, dan akhirnya, perang besar yang bakal menentukan nasib dan masa depan negara, PRU-16,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan Majlis Sambutan Hari UMNO ke-79 dan Konvokesyen Pertama Sekolah Patriotik UMNO (SPU) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

UMNO dan Barisan Nasional (BN) mula mencipta hatrik kemenangan di PRK bermula di DUN Pelangai, Nenggiri, Mahkota dan terbaharu di Ayer Kuning.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN, berkata dalam mendepani peperangan besar itu, beliau tidak mahu pemimpin dan ahli akar umbi bersengketa atau terbuai dalam jerat persepsi yang melemahkan parti.

“Janganlah ada di antara kita yang bersengketa, apatah lagi terbuai dalam jerat persepsi dan sentimen yang hanya melemahkan parti.

“Mungkin sudut pandang kita berbeza, tetapi bergeraklah senada, kerana di situlah kunci untuk mengembalikan sokongan rakyat semula,” katanya. – Berita Harian

Related Posts