Home Negeri156 kes konflik direkodkan Pusat Mediasi Komuniti tahun 2025

156 kes konflik direkodkan Pusat Mediasi Komuniti tahun 2025

oleh suara timur

KEMAMAN: Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) menerusi Pusat Mediasi Komuniti mengendalikan sebanyak 156 kes melibatkan konflik dalam kalangan komuniti di seluruh negara, sepanjang tahun lalu.

Ketua Pengarahnya, Zulkifli Hashim berkata, jumlah kes yang direkodkan itu menurun berbanding tahun 2024 yang merekodkan sebanyak 215 kes.

Menurutnya, kebanyakan kes yang diterima melibatkan isu kejiranan dan komuniti setempat seperti masalah parkir kereta, kutipan sampah dan perselisihan faham.

ZULKIFLI  Hashim menyampaikan Handbook Kes Mediasi kepada Mediator Komuniti pada Program Inisiatif Mediasi, Penyelesaian Harmoni dan Perasmian Pusat Mediasi Komuniti Daerah Kemaman di Chukai, Kemaman hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN

“Pusat mediasi berperanan sebagai medium untuk menyelesaikan masalah yang timbul dengan memberi penekanan perundingan, persefahaman dan persetujuan tanpa perlu melibatkan proses mahkamah yang rumit dan menelan kos tinggi,” katanya.

banner

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Inisiatif Mediasi, Penyelesaian Harmoni dan Perasmian Pusat Mediasi Komuniti Daerah Kemaman di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah JPNIN negeri Terengganu, Mohd Rosli Alias, Ketua Polis Daerah Kemaman, Mohd Razi Rosli dan Pegawai Daerah Kemaman, Nazwawi Harun.

ZULKIFLI Hashim meninjau Pusat Mediasi Komuniti Daerah Kemaman selepas majlis perasmian di Chukai, Kemaman hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN

Zulkifli berkata, kes konflik antara kejiranan dan komuniti itu dikendalikan 595 orang Mediator Komuniti (MK) yang terpilih dan terlatih di seluruh negara.

“MK ini dipilih dalam kalangan individu yang mempunyai pengaruh dalam masyarakat dan mereka dihantar menjalani latihan untuk mengendalikan konflik,” katanya.

Menurutnya, sebanyak 1,273 kes mediasi direkodkan dalam tempoh sembilan tahun bermula 2017 hingga 2025.

“Setiap tahun, lebih 85 peratus daripada kes yang diterima berjaya diselesaikan dan untuk tahun ini, sehingga Mei sebanyak 45 kes mediasi direkodkan,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini sebanyak sembilan pusat mediasi komuniti ditubuhkan di seluruh negara dan pihaknya menyasarkan penubuhan tiga buah lagi pusat mediasi hingga hujung tahun ini. – Suara Timur

Tinggalkan komen