Negeri

Terengganu akan semak bayaran wang ehsan RM4 bilion

MARANG:  Kerajaan Terengganu akan membuat semakan terperinci berhubung kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa negeri itu menerima bayaran dana khas (wang ehsan) sebanyak RM4 bilion bagi tempoh 2023 hingga 2025.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, semakan itu penting bagi memastikan sama ada jumlah tersebut benar-benar melibatkan dana royalti petroleum atau bercampur dengan peruntukan lain.

“Saya akan semak dahulu kerana mungkin angka itu termasuk peruntukan lain yang di luar daripada kefahaman kami sebagai duit royalti.

“Saya tidak mahu sebut secara tergesa-gesa tanpa pengesahan. Perincian akan saya bentangkan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penyampaian Geran RTB DUN Rhu Rendang di Dewan Majlis Daerah Marang di sini pada Sabtu.

Sebelum ini, portal berita tempatan melaporkan, kerajaan telah menyalurkan RM4 bilion wang ehsan kepada Terengganu manakala RM967 juta untuk Kelantan antara 2023 dan 2025.

Menurut Anwar, dana tersebut bertujuan melaksanakan projek dan program memberi manfaat kepada rakyat di kedua-dua negeri terbabit.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri berharap agar kerajaan Persekutuan mengembalikan kaedah pembayaran royalti seperti amalan asal iaitu dua kali setahun pada awal April dan awal Oktober.

Jelasnya, perubahan kaedah bayaran di bawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan sekarang menyukarkan perancangan negeri.

“Kaedah pembayaran sekarang tidak tetap, menyukarkan urusan tuntutan dan perancangan kewangan negeri,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan dua projek tenaga besar sedang berjalan di Tasik Kenyir melibatkan projek loji solar terapung yang dilancarkan Perdana Menteri baru-baru ini serta projek tenaga solar dan hidrogen hijau.

Katanya, projek berkenaan yang antaranya membabitkan kerjasama kerajaan negeri, Petronas dan Acwa Power Company dari Arab Saudi kini memasuki fasa akhir perbincangan teknikal. – Sinar Harian

Related Posts