KUALA NERUS: Hakisan pantai sejak Januari lalu mengakibatkan beberapa rumah di Kampung Pantai Batu Rakit, di sini, bakal ‘dimamah’ laut berikutan kedudukan rumah hanya beberapa meter daripada pantai.
Zamri Sulong, 42, berkata, dia kini berdepan kehilangan rumah pusaka berusia 80 tahun akibat hakisan pantai yang semakin kritikal sejak kebelakangan ini.
Menurutnya, sebelum ini dia membelanjakan hampir RM40,000 bagi mengubah suai rumah berkenaan namun usaha itu terhenti apabila kira-kira 5 meter tapak binaan runtuh dibadai ombak Januari lalu.
“Ketika itu kerja sudah siap hampir 70 peratus namun hilang sekelip mata akibat dibadai ombak.
“Akhirnya pembinaan terpaksa dihentikan dan niat untuk menyiapkan rumah berkubur manakala wang untuk tujuan itu pun sudah habis,” katanya
Katanya, dia kini buntu memikirkan tempat tinggal kekal selepas kejadian hakisan itu kerana buat masa ini dia terpaksa menyewa dengan bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) yang menampung bayaran bulanan.
“Saya hanya bekerja sebagai kakitangan penyelenggaraan di sebuah resort berhampiran untuk menyara keluarga,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Mat Yusoff Abdullah, 73, berkata jarak rumahnya kini hanya kira-kira 20 meter dari pantai malah dia turut bimbang kerana musim tengkujuh boleh menyebabkan keadaan hakisan bertambah buruk.
Menurutnya, Monsun Timur Laut (MTL) yang bakal melanda dalam beberapa bulan lagi tidak mustahil bakal melenyapkan kesemua sembilan buah rumah yang ada di kampung berkenaan.
“Dulu jarak rumah ke laut lebih 50 meter, sekarang buka pintu belakang rumah sahaja sudah laut.
“Kalau tiada tindakan dari sekarang, tidak mustahil rumah kami pun lenyap seperti rumah-rumah lain sebelum ini yang sudah lenyap dimamah ombak,” katanya.
Katanya, menjadi persoalan sekarang di mana mereka bakal tinggal sekiranya rumah dibadai ombak dalam siri MTL yang bakal berlarutan sehingga Mac tahun depan.
Menurutnya, hakisan mula ketara sejak November tahu lalu merubah sepenuhnya landskap kampung ini apabila kawasan yang suatu ketika dahulu menjadi laluan penduduk dan lokasi bot nelayan berlabuh kini sudah hilang sepenuhnya.
“Dahulu lebih 60 bot nelayan diletakkan di belakang rumah saya namun sekarang semua terpaksa berpindah ke kawasan lain.
“Wakaf tempat berehat pun ada lima hingga enam buah, semuanya hanyut dalam masa tiga hari sahaja ketika MTL tahun lalu,” katanya.
Keadaan sama turut dikongsi seorang suri rumah, Rohmah Abd Ghani, 60, yang mengakui hidup mereka sekeluarga tidak lagi tenang setiap kali malam menjelang.
“Kalau nak kata hakisan memang banyak, lebih kurang dua kilometer dan sekarang nak tidur pun susah sebab risau rumah akan roboh dibadai ombak,” katanya.
Menurutnya, secara keseluruhan, sembilan rumah membabitkan 10 keluarga di kampung itu kini berada dalam keadaan tidak selamat dan berdepan risiko runtuh sekiranya tiada langkah segera diambil. – Harian Metro