Oleh BAZLI RAZAK
TANJONG MALIM:Â Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bakal melancarkan Global Educator Award (GEA) 2026 dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai inisiatif strategik bagi mengiktiraf pendidik dan organisasi pendidikan global yang memberi impak besar terhadap pembangunan pendidikan sejagat.
Pengarah Akademik dan Antarabangsa UPSI yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr. Ridzwan Che Rus berkata, program berprestij yang diilhamkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir itu dilihat sebagai platform penting dalam memperkukuh jaringan antarabangsa, di samping mengangkat Malaysia sebagai hab pendidikan unggul di rantau ini.
Menurut beliau, penganjuran terdahulu pada 2025 mencatat sambutan luar biasa dengan 244 pencalon dari 57 negara serta penglibatan lebih 10,000 peserta sepanjang acara berlangsung.

“GEA bukan sekadar anugerah, tetapi satu gerakan akademik yang menghimpunkan pemikir, pendidik dan institusi dari seluruh dunia untuk berkongsi amalan terbaik, inovasi serta hala tuju masa depan pendidikan,” katanya di sini, hari ini.
Beliau menegaskan bahawa penganjuran itu juga selari dengan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2026-2030 serta agenda pengantarabangsaan pendidikan negara.
“Melalui GEA 2026, UPSI berhasrat memperkukuh reputasi Malaysia dan universiti sebagai peneraju pendidikan global, di samping memupuk nilai MADANI berteraskan kemanusiaan, kelestarian dan tanggungjawab sosial,” tambahnya.
Menurut beliau, program itu turut membuka peluang pembelajaran berasaskan pengalaman kepada pelajar UPSI melalui penglibatan langsung dalam pengurusan acara bertaraf antarabangsa.
GEA 2026 dijadual berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober 2026 di Dewan Tuanku Canselor UPSI Tanjong Malim, dengan sasaran 500 pencalonan dan 20,000 peserta dari dalam serta luar negara.
Antara pengisian utama termasuk forum intelektual, bengkel hands-on, lawatan akademik dan majlis anugerah.
Sebanyak lima kategori anugerah dicadangkan, iaitu Avant-Garde Teacher Award, Esteemed Teacher Educator Award, Transforming Educational Institution Award, Community Outreach Educator Award dan Inspiring Educational Leader Award.
Selain itu, lima anugerah baharu diperkenalkan bagi edisi 2026, termasuk The Luminary Educator Award dan The Legacy Educator Award, sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan serta sumbangan signifikan dalam pendidikan global.
“Penganjuran GEA 2026 dijangka memberi impak signifikan kepada negara, termasuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pendidikan global, meningkatkan reputasi antarabangsa, serta merangsang pertukaran pengetahuan dan inovasi dalam teknologi pendidikan,” ujarnya. – Suara Timur
