Home NasionalGST mampu ‘putihkan’ ekonomi bayangan, tingkat ketelusan cukai – Pakar

GST mampu ‘putihkan’ ekonomi bayangan, tingkat ketelusan cukai – Pakar

oleh suara timur

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) seperti dicadangkan pemimpin kerajaan, dilihat berupaya memutihkan sektor ekonomi bayangan melalui sistem kutipan cukai yang lebih telus dan cekap.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB), Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata sekiranya GST diperkenalkan semula, ia berpotensi menjana pendapatan tambahan kepada kerajaan, khususnya daripada sektor ekonomi bayangan yang bernilai kira-kira RM300 bilion.

Beliau berkata, meskipun dasar percukaian yang konsisten adalah penting bagi memastikan keyakinan pelabur dan kestabilan ekonomi, pelaksanaan semula GST perlu disertai dengan penerangan menyeluruh kepada rakyat.

Katanya, proses itu juga memerlukan tempoh yang panjang, termasuk libat urus bersama pemegang taruh bagi memastikan kefahaman dan penerimaan masyarakat terhadap mekanisme cukai berkenaan.

banner

“Berdasarkan dapatan daripada kerajaan, ekonomi bayangan ini saiznya agak besar iaitu kira-kira RM300 hingga RM330 bilion dan jika GST diperkenalkan semula, sudah pasti ia mampu mendapatkan jumlah itu, sekali gus menjana pendapatan cukai kepada kerajaan.

“Ia sekali gus membolehkan ekonomi bayangan diputihkan dan menyelesaikan masalah kutipan cukai dalam sektor itu kerana GST begitu telus dari segi pelaksanaan kerana memerlukan setiap rantaian bekalan berdaftar dengan pihak berkuasa,” katanya kepada BH, di sini.

Kelmarin, Barisan Nasional (BN) dilapor mendesak supaya GST dikembalikan selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), menyifatkannya sebagai rejim cukai terbaik bagi memastikan keadilan serta hasil pendapatan negara lebih kukuh.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan berkata, pendirian BN jelas, namun parti itu bersedia memberi ruang kepada sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sedia ada untuk diteruskan buat sementara waktu. – Berita Harian

Tinggalkan komen