KUALA TERENGGANU: “Saya jual keropok lekor tak jual Losong… Losong adalah nama kampung yang mana perusahaan keropok lekor diusahakan.
“Namun majoriti pelanggan terutama dari luar negeri ini datang hendak membeli Losong dan saya perlu berdepan dengan naratif itu sebelum perlu diperbetulkan,” kata Fatimah Salma Sulong, 76, dari Kampung Losong Haji Su, dekat sini.
Dia yang mengusahakan kedai menjual keropok lekor sejak lebih 50 tahun lalu berkata, sejak kebelakangan ini pelanggan terutama dari luar Terengganu datang hendak membeli Losong (merujuk kepada keropok) dan bukannya menggunakan istilah tepat iaitu keropok lekor.
Katanya, dia tidak menafikan Kampung Losong amat sinonim dengan perusahaan keropok lekor namun peredaran zaman mengakibatkan nama keropok lekor diubah menjadi ‘Losong’ oleh pelanggan luar.
“Bila sebut Losong, ramai yang mengenali dan berkemungkinan itu peniaga atau pengunjung akan melabelkan keropok lekor sebagai Losong.
“Saya merasakan panggilan keropok lekor lebih afdal berbanding Losong kerana Losong itu nama kampung dan bukannya keropok,” katanya yang mengusahakan perniagaan itu bersama tiga lagi adiknya.
Menurutnya, dahulu keropok lekor lebih dikenali dengan panggilan keropok getel kerana penghasilannya melalui proses gentelan isi ikan yang sudah diadun.
Katanya, lekor pula hasil daripada isi ikan yang diadun apabila digentel akan menjadi lingkaran dan dalam bahasa mudah iaitu lekor (lingkaran) dan wujud lah keropok lekor.
Bagaimanapun katanya, sejak kebelakangan ini keropok lekor sudah berubah menjadi Losong, dalam kalangan pelanggan luar kerana keropok sudah ditukar kepada nama kampung.
Katanya, keropok lekor dan Losong sering menjadi perdebatan warga maya apabila pelanggan dari luar Terengganu, sering kali memanggil keropok lekor sebagai Losong.
“Situasi itu berlaku apabila pelanggan luar Terengganu dilihat tersalah tafsir apabila dimomokkan dengan semua keropok lekor disebut sebagai Losong walaupun keropok berkenaan tidak berasal dari Kampung Losong.
“Keropok lekor yang dijual di Kampung Losong mempunyai identiti tersendiri dari segi saiznya yang kecil,” katanya. – Metro
