Home NegeriKPDN Terengganu anjur empat program Rahmah sepanjang Ramadan

KPDN Terengganu anjur empat program Rahmah sepanjang Ramadan

oleh suara timur

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Terengganu menganjurkan empat program utama sempena Ramadan tahun ini bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat di negeri itu.

Pengarahnya, Mohd Mufsi Lat berkata, program berkenaan ialah Bazar Ramadan Rahmah (BRR) 2026, Program Ikhlas Ramadan 2026, Program MySaveFood Ramadan 2026/Ihsan Food Bank serta Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) sempena Hari Raya Aidilfitri.

Beliau berkata, BRR 2026 dilaksanakan di lapan lokasi terpilih, melibatkan satu lokasi bagi setiap kawasan Parlimen di Terengganu bermula 1 Mac lepas di Bazar Ramadan Binjai Rendah, Marang dan Bazar Ramadan Paka, Dungun.

banner

“Lokasi seterusnya ialah Bazar Ramadan Kampung Raja, Besut (3 Mac), Bazar Ramadan Kuala Ibai, Kuala Terengganu (5 Mac), Bazar Ramadan Sungai Tarom, Setiu (7 Mac), Bazar Ramadan Kuala Berang, Hulu Terengganu (8 Mac), Bazar Ramadan Kerteh, Kemaman (9 Mac) dan Bazar Ramadan Gong Badak, Kuala Nerus (13 Mac),” katanya.

MOHD Mufsi Lat menunjukkan poster jualan harga Rahmah di Bazar Ramadan Paka, Dungun, semalam. – SUARA TIMIR/MUKHATAR A. RAHMAN

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di Bazar Ramadan di Paka dekat sini petang semalam.

Menurut beliau, bazar berkenaan beroperasi sepanjang Ramadan bagi menggalakkan penggunaan pembayaran tanpa tunai selain mendorong peniaga menawarkan Juadah Rahmah pada harga berpatutan.

Sebagai galakan, tambahnya, peniaga BRR terpilih menerima insentif kewangan secara sekali bayar sebanyak RM100 dalam bentuk dompet elektronik. Peniaga yang melaksanakan transaksi tanpa tunai serta menawarkan Juadah Rahmah turut layak menerima tambahan RM100.

Selain itu, katanya, KPDN mengagihkan kredit e-dompet RM20 kepada 1,500 pengunjung terawal di setiap lokasi BRR bagi pembelian tanpa tunai menerusi operator yang bekerjasama di bawah Program Retail Digitalisation Initiative (REDI).

MOHD Mufsi Lat (kiri) bertanya sesuatu kepada peniaga di Bazar Ramadan Paka, Dungun, semalam. – SUARA TIMIR/MUKHATAR A. RAHMAN

Dalam pada itu, tambahnya, KPDN Negeri Terengganu turut bekerjasama dengan Petronas Dagangan Berhad (PDB) melalui pelaksanaan Program Ikhlas Ramadan 2026.

Jelasnya, menerusi program tanggungjawab sosial korporat itu, satu pertukaran silinder Gas PETRONAS secara percuma serta apron Gas PETRONAS diberikan kepada gerai terpilih yang kebanyakannya terdiri daripada komuniti B40.

Bagi mengurangkan pembaziran makanan sepanjang Ramadan, beliau memberitahu,
KPDN turut melaksanakan Program MySaveFood Ramadan 2026 atau Ihsan Food Bank dengan kerjasama Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia (GEMA).

Katanya, program itu membudayakan sistem pengurusan lebihan makanan secara efektif di bazar Ramadan dan melibatkan sukarelawan Gabungan Pengguna Siswa daripada sembilan institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta termasuk Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Sultan Zainal Abidin dan Politeknik Besut.

NURUL Emilia Mohd Nor (kanan) menunjukan kuih agar-agar yang dijual di gerai Nasa di Bazar Ramadan Paka, Dungun, semalam.  – SUARA TIMIR/MUKHATAR A. RAHMAN

Pelaksanaan program itu melibatkan lapan lokasi bazar Ramadan iaitu Kuala Besut, Gong Badak, Paka, Kuala Berang, Wakaf Tengah, Sungai Tarom, Kampung Raja dan Batu Buruk bermula 23 Februari hingga 13 Mac ini.

“Setakat ini sebanyak 493.7 kilogram lebihan makanan berjaya diselamatkan,” katanya.
Sementara itu, Mohd Mufsi berkata Program Jualan Rahmah Madani sempena Aidilfitri akan berlangsung serentak di lapan Parlimen di Terengganu pada 14 Mac ini.

Lokasi terlibat ialah Dataran Limbongan, Kampung Raja (Besut), Dewan Komuniti Kampung Telaga Papan (Setiu), Dataran Masjid Tok Jembal (Kuala Nerus), pekarangan Surau Al-Iman, Losong Panglima Perang (Kuala Terengganu), pekarangan Masjid Pengadang Baru (Marang), Dewan Sivik Ajil (Hulu Terengganu), Dewan Arena Merdeka (Dungun) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Permai (Kemaman).

Beliau berkata, program itu bertujuan menyediakan barangan keperluan pada harga berpatutan menjelang perayaan, selain dimeriahkan dengan penyertaan rakan strategik yang menawarkan pelbagai kelengkapan raya termasuk kuih-muih tradisional, pakaian dan aksesori.

Sementara itu, seorang peniaga BRR, Mohamad Nasaruddin Zulkepli, 33, berkata beliau yang mula berniaga sejak 2020 menerima sambutan menggalakkan daripada pelanggan.

Beliau berkata, pelbagai jenis kuih dijual di gerainya pada harga serendah RM5 ke bawah antaranya gula Melaka, puteri mandi, sagu kelapa, agar-agar, koleh kacang, seri kaya, seri muka, puding gula hangus, kasidah dan karipap.

“Saya turut dibantu dua sepupunya dalam mengusahakan gerai berkenaan,” ujarnya. – Suara Timur







Tinggalkan komen