KUALA KRAI: Seorang wanita warga emas ditemui meninggal dunia dengan mayat hampir reput di ruang tamu rumahnya di Flet Sri Guchil di sini, hari ini.
Halimatun Yusoff, 69, ditemui pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai selepas pintu rumahnya dibuka menggunakan peralatan khas.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II (PBKII) Mohd Khairul Duha Abdul Halim, berkata pihaknya menerima panggilan daripada polis pada jam 2.02 petang bagi mendapatkan bantuan membuka pintu rumah yang terkunci, susulan aduan penduduk terhidu bau busuk dari unit berkenaan.
Katanya, enam anggota dan pegawai BBP Kuala Krai dikerah ke lokasi.
“Selepas pintu dibuka, seorang warga emas ditemukan meninggal dunia di ruang tamu dan mayatnya hampir reput.
“Mangsa dipercayai meninggal dunia beberapa hari lalu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau bekata, mayat diserah kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. – Berita Harian