Negeri

Pekerja SATU dan tukang masak maut, motosikal ditunggangi bertembung

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN:  Dua lelaki maut selepas motosikal ditunggang mereka bertembung
di kilometer 145, Jalan Kuala Terengganu – Kuantan berhampiran persimpangan lampu isyarat berdekatan sebuah kilang membuat besi keluli di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian pada pukul 8.01 pagi itu,
mangsa Shamsuddin Yusof, 39, dan Mohd Alis Ismail, 36, maut di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah di kepala dan anggota badan.

Ketika kejadian, Mohd Alis, seorang pekerja Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU), sedang dalam perjalanan dari arah Kampung Bukit Kuang untuk menjalankan tugas di bandar Kerteh.

Seorang lagi mangsa, Shamsuddin, yang bekerja sebagai tukang masak di kilang besi keluli berkenaan dikatakan dalam perjalanan ke tempat kerjanya itu dari bandar Dungun.

Sejurus tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang Shamsuddin dipercayai memasuki laluan bertentangan dengan menunggang secara melawan arus untuk masuk ke kilang berkenaan.

Situasi tersebut menyebabkan dua buah motosikal berkenaan bertembung secara berhadapan menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak di atas jalan raya.

Pasukan perubatan yang tiba sejurus selepas kejadian mengesahkan kedua-dua mangsa meninggal dunia ditempat kejadian dan mayat mereka diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian itu.

Beliau memberitahu, kedua-dua mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman (HK) untuk proses bedah siasat.

“Kes berkenaan disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – Suara Timur

Related Posts