Home NegeriGerai jual mercun dan bunga api terbakar, polis ambil tindakan jika cuai

Gerai jual mercun dan bunga api terbakar, polis ambil tindakan jika cuai

oleh suara timur

KEMAMAN: Polis akan menjalankan siasatan berhubung kejadian kebakaran di satu tapak menjual bunga api di Kampung Gong Limau, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli ketika dihubungi berkata, tindakan akan diambil kepada peniaga terbabit sekiranya berlaku unsur kecuaian dalam kejadian berkenaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati  peniaga  terbabit mempunyai permit yang sah untuk aktiviti penjualan bunga api.

SEORANG penduduk menunjukkan gambar yang dirakam ketika gerai menjual mercun dan bunga api terbakar di Kampung Gong Limau, semalam.

“Ketika kejadian, peniaga terbabit dikatakan tiada di lokasi kejadian kerana keluar membeli makanan untuk bersahur di sebuah kedai makan tidak jauh dari lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata, siasatan terperinci akan dilakukan sekiranya wujud perlanggaran syarat yang telah ditetapkan di dalam permit penjualan.

MOHD RAZI ROSLI

Jelasnya, tindakan menarik semula permit penjualan boleh dilakukan sekiranya wujud perlanggaran pada syarat-syarat yang terkandung dalam permit.

Selain itu, tambahnya, polis juga akan membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 285 Kanun Keseksaan sekiranya ada unsur kecuaian berkaitan kejadian itu.

Dalam kejadian kira-kira pukulm 4.15 pagi semalam, penduduk Kampung Gong Limau, Kemaman gempar selepas sebuah khemah menjual bunga api musnah dalam satu kebakaran.

Kebakaran itu menyebabkan berlakunya letupan dan percikan besar bunga api  di sekitar lokasi kejadian selama kira-kira setengah jam.

Bagaimana pun tiada kecederaan dan kemusnahan harta lain dalam kejadian berkenaan. – Suara Timur

Tinggalkan komen