Oleh MOHD. LAZIM ENDUT
KUALA TERENGGANU: Penyertaan Hadiah Sastera Terengganu Darul Iman (HASDI VII) 2025 yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan hampir RM100,000 bagi para penulis anak kelahiran Terengganu atau berkerakyatan negeri ini termasuk yang tinggal di luar negara kini sudah dibuka.
Tempoh penghantaran karya oleh penulis yang layak dalam pelbagai genre itu dibuka sehingga 31Mac ini.
Manakala tarikh akhir pencalonan bagi kategori Hadiah Bitara Sastera pula ialah sehingga 31 Mei 2025.
Sehubungan itu, Pengerusi Pengelola Hasdi VII, Abdul Mubin Ismail berharap para penulis yang ingin menyertainya supaya menghantar segera karya masing-masing dalam tempoh ditetapkan.
Menurut Abdul Mubin, sebagaimana siri Hasdi sebelum ini, sebanyak empat kategori utama dinilai ialah Tokoh sastera, Cekal Sastera, Buku Perseorangan dan Bahagian Eceran.

Katanya, penyampaian anugerah dwitahunan itu termasuk bagi Tokoh Sastera negeri dan Hadiah Cekal Sastera dijangka diadakan pada penghujung tahun ini selepas penilaian dibuat penel juri.
Beliau berkata, anugerah ini ditaja sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Terengganu di mana Persatuan Sasterawan Terengganu (Pelita) bertindak sebagai Penyelaras.
Anugerah ini turut mendapat kerjasama Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dan Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP).
“Ini merupakan satu satunya anugerah berpestij untuk penulis anak negeri ini.
“Ia merupakan satu bentuk penghargaan dan pengiktirafan kerajaan Terengganu terhadap sumbangan para karyawan, sasterawan, penulis, pengarang anak negeri yang telah menghasilkan karya bermutu secara berterusan melalui pelbagai medium cetak,” ujarnya.
Beliau berkata, bagi Hadiah Karya Sastera penilaian dibuat adalah melibatkan karya karya diterbitkan pada tahun 2023 dan 2024.
Katanya, Bahagian A adalah Buku Perseorangan-fizikal atau digital terdiri daripada Kumpulan Puisi Kanak-Kanak, Kumpulan Puisi Remaja, Kumpulan Puisi Umum, Kumpulan Cerpen Kanak-Kanak, Kumpulan Cerpen Remaja, Kumpulan Cerpen Umum, Novel Kanak-Kanak, Novel Remaja, Novel Umum, Buku Sastera (Esei Sastera), Drama Pentas, Drama Radio, Drama TV dan Biografi/Autobiografi/Travelog.
Menurut beliau, Bahagian B ialah Eceran melibatkan Puisi Kanak-Kanak, Puisi Remaja, Puisi Umum, Cerpen Kanak-Kanak, Cerpen Remaja, Cerpen Umum, Drama Pentas, Esei Kajian/Kritikan Sastera (ilmiah) dan Esei/Rencana Sastera.
Manakala Bahagian C pula ialah Eceran membabitkan penulis berusia 21 tahun ke bawah yang menghasilkan Karya Kreatif.
Abdul Mubin yang juga Ketua Dua Pelita berkata, keterangan lanjut mengenai HASDI VII boleh diperoleh dengan menghubungi sekretariat HASDI VII di talian 0199532200 atau emel pelita160466@gmail.com.
Tambahnya, serahan bahan karya dan dokumen berkaitan bagi tujuan penilaian boleh dihantar kepada Sekretariat Hadiah Sastera Darul Iman (HASDI VII) di Pejabat Pelita, JKR 281, Rumah Warisan Jalan Tok Lam, 20100 Kuala Terengganu, Terengganu .
Ends