KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menerima kunjungan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Institut Jantung Negara (IJN) petang semalam.
Pertemuan itu difahamkan turut disertai oleh ahli keluarga dan pakar perubatan yang terlibat dalam prosedur rawatan Tuan Guru, yang telah memberikan taklimat berkenaan kejayaan prosedur tersebut.
Tuan Guru Abdul Hadi turut menyatakan penghargaan atas lawatan tersebut dan menyifatkan kejayaan IJN sebagai salah satu legasi besar hasil usaha Tun Dr Mahathir.
“Semoga perkhidmatan seperti ini dapat dinikmati oleh semua rakyat,” ujar beliau kepada hasil usaha Tun Mahathir dalam membina keupayaan sistem perkhidmatan kesihatan berpakar di Malaysia.
Terdahulu, pada 17 Jun lalu, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi memaklumkan bahawa prosedur kesihatan yang dijalani ayahandanya telah berjaya dilaksanakan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah mendoakan kesembuhan Abdul Hadi, dan menyeru agar terus mendoakan kesihatan berpanjangan buat Presiden PAS itu. – Harakahdaily