KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) memberi amaran akan menggerakkan demonstrasi sebagai tindak balas terhadap pelbagai dasar kerajaan yang disifatkan sebagai menindas rakyat.
Pengerusi Majlis Politik Nasional GAMIS, Muhammad Ammar Hafizi Azmi, berkata rakyat kini berada di ambang kesabaran susulan tekanan hidup yang kian menghimpit dari segenap sudut tanpa tindakan konkrit kerajaan untuk meredakan beban.
“Penarikan subsidi keperluan asas, perluasan serta peningkatan kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), kenaikan tarif elektrik dan air, serta kenaikan kos sara hidup yang tidak terkawal telah menjerut kehidupan rakyat marhaen dari segenap arah.
“Keadaan ini menjadi lebih parah apabila kerajaan dilihat terus menyekat hak bersuara rakyat, mengenakan intimidasi terhadap pengkritik dan tidak menunjukkan sebarang usaha tuntas untuk meringankan beban yang ditanggung rakyat.
“Belum sempat rakyat ingin membina semula ekonomi yang merosot sebelum ini, sekali lagi kerajaan zalim pada hari ini datang dengan satu polisi yang menekan dan mendesak rakyat dengan kos sara hidup yang melambung tinggi,” katanya menerusi kenyataan.
Muhammad Ammar berkata, segenap lapisan rakyat hari ini terus ditekan dan ditekan dengan polisi durjana ini.
“Melihat kecelaruan yang berlaku ini, seluruh mahasiswa dan rakyat Malaysia perlu bersatu untuk memperjuangkan isu ini kerana mahasiswa adalah ejen perubahan.
“Bukan pembangkang sahaja, malah kami juga akan menjadi semak dan imbang kepada Kerajaan Madani yang gagal lagi zalim ini. Maka, satu demonstrasi akan dibuat sebagai gelombang awal mahasiswa terhadap isu ini,” katanya. – Harakahdaily