Home PolitikDUN Johor bubar hari ini

DUN Johor bubar hari ini

oleh suara timur

JOHOR BAHRU: Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 berkuat kuasa pada hari ini.

Pengumuman dibuat pada jam 5 petang di kediaman rasmi Menteri Besar di Saujana di sini bersama barisan Exco Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN).

“Saya ingin memaklumkan bahawa saya telah menghadap Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail pada hari ini, 1 Jun 2026.

“Sehubungan itu, atas titah perkenan Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor, watikah pembubaran Dewan Negeri Johor Darul Ta’zim yang ke-15 telah diperkenankan berkuat kuasa pada 1 Jun 2026 iaitu pada hari ini,” katanya.

banner

Jelas Onn Hafiz (BN-Machap), pembubaran DUN selaras dengan peruntukan Fasal 23 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

“Pembubaran ini dibuat bagi memberi laluan kepada proses demokrasi melalui Pilihan Raya Negeri Johor, tertakluk kepada penetapan rasmi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia. Keputusan ini dibuat dengan niat untuk memastikan rakyat Bangsa Johor terus memiliki sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh.

“Saya menyeru kepada semua parti politik, pemimpin dan penyokong agar menghadapi proses demokrasi ini dengan penuh adab, tertib serta berhemah,” ujarnya.

Pada PRN Johor ke-15 yang berlangsung pada Mac 2022, BN membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Pakatan Harapan (PH) pula memenangi 12 kerusi dengan DAP memperoleh 10 kerusi, manakala PKR dan Amanah masing-masing satu kerusi.

Perikatan Nasional (PN) memenangi tiga kerusi, sementara Muda memperoleh satu kerusi.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor menerima notis mesyuarat memanggil bagi menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 22 Jun ini, mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan pembubaran DUN Johor berlaku pada hari itu. – Sinar

Tinggalkan komen