Negara Politik

‘Pendedahan isu TCO tiada kaitan PRK Ayer Kuning’ – Ahmad Samsuri

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan bahawa pendedahan berhubung status beliau di bawah kawalan Pejabat Kawalan Perjalanan (TCO) mempunyai kaitan dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Menurutnya, dakwaan kononnya pendedahan itu dibuat atas faktor kepentingan politik adalah tidak berasas kerana beliau sendiri hanya mengetahui tentang perkara tersebut ketika ‘ditahan’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Sabah, sebelum hari penamaan calon.

“(Pendedahan) bukan untuk PRK… sebab saya pun hanya dimaklumkan mengenai perkara itu pada hari saya ditahan… saya tanya, sejak bila saya dikenakan TCO? Mereka jawab sejak 2024.

“Ini kali pertama saya ditahan sebegitu kerana sebelum ini, keluar masuk saya adalah melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menggunakan laluan VIP (orang kenamaan),” katanya kepada pemberita selepas Istiadat Pembukaan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini, pada Isnin.

Ahmad Samsuri berkata, beliau pelik dan terkilan apabila ditahan sebanyak dua kali pada hari Ahad dan Isnin ketika melalui laluan biasa di lapangan terbang berkenaan.

“Saya hanya mahu ke Sabah, bukan ke luar negara berisiko pun, tetapi tetap ditahan dan diminta mendapatkan kelulusan daripada Cawangan Khas.

“Kalau TCO ini perkara biasa, mengapa saya perlu melalui prosedur berbeza berbanding orang lain? Ada yang kata hanya untuk rekod, tetapi sebenarnya saya perlu menunggu kelulusan daripada Cawangan Khas. Ini bukan perkara kecil.

“Sebelum ini ke luar negara pun tiada masalah, hanya kali ini saya tahu tentang sekatan ini sebab saya guna laluan rakyat biasa, bukan laluan VIP,” jelasnya.

Ahmad Samsuri berkata, beliau ke Sabah dan beratur di laluan orang awam di KKIA kerana kemasukannya ke negeri itu adalah atas urusan peribadi.

“Sebelum ini tiada masalah untuk ke mana-mana destinasi di luar negara kerana saya menggunakan laluan VIP di KLIA. Mungkin tidak nampak (pemantauan TCO) kerana saya tidak pernah ditahan.

“Apa yang berlaku di KKIA, saya ditahan di hadapan orang ramai. Saya rasa tidak boleh terima kerana saya hendak ke Sabah sahaja, bukan ke Amerika, Filipina atau mana-mana negara berisiko,” katanya.

Ditanya mengenai kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain bahawa tiada keperluan meletakkan beliau dalam Senarai Pekeliling Khas (SPK) kerana bukan seorang penjenayah, Ahmad Samsuri berkata, beliau akan ke luar negara bagi mengesahkan kenyataan itu.

“Saya akan ‘uji’ dulu, mungkin saya akan pergi ke Singapura… pagi pergi, tengok kena TCO atau tidak. Lepas itu tengah hari balik dan petang pergi semula… kalau setiap kali pergerakan saya keluar masuk dilaporkan kepada Cawangan Khas, bermakna masih ada TCO,” ujarnya. – Sinar Harian

Related Posts