Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Seramai 50 pegawai dan anggota polis, ahli Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) serta orang awam menerima Sijil Penghargaan Sempena Hari Polis Ke-219 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman di sini hari ini.
Sijil perhargaan yang bertujuan menghargai jasa, dedikasi dan pengorbanan warga PDRM yang menyumbang kepada keselamatan negara disampaikan Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli.
Sementara itu, sijil perhargaan kepada orang awam pula sebagai pengiktirafan membantu polis dalam mencegah jenayah dan menjayakan program-program polis.

Tema sambutan Hari Polis tahun ini ialah ‘Polis Dan Masyarakat Berpisah Tiada’.
Mendahului senarai penerima ialah Ketua Bahagian Ketenteraman Awam (KBKA), IPD Kemaman, Deputi Superintenden Polis (DSP) Nozani Mohd Nor.
Majlis sambutan Hari Polis Ke-219 IPD Kemaman dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Sang Saka Biru diikuti Bacaan Doa serta Bacaan Lafaz Ikrar Taat Setia Polis Diraja Malaysia oleh Inspektor Norsaidatul Hidayu Mohd Salleh.
Turut menerima sijil penghargaan tersebut ialah wartawan Portal Suara Timur, Mukhatar A. Rahman. – Suara Timur
