Home NegeriOp Iman: APMM tahan bot nelayan tempatan tangkap ikan dalam zon larangan

Op Iman: APMM tahan bot nelayan tempatan tangkap ikan dalam zon larangan

oleh suara timur

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kemaman menahan sebuah bot nelayan tempatan kerana disyaki melanggar syarat lesen serta melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 dalam satu operasi rondaan di perairan Terengganu, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kemaman Komander Maritim Abdul Halim Hamzah berkata, penahanan itu dibuat kira-kira 5.15 petang oleh bot ronda Maritim Malaysia yang melaksanakan Op Iman selepas mengesan pergerakan mencurigakan sebuah bot nelayan pada jarak 9.7 batu nautika dari Pantai Kemasik.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan dikendalikan lima kru lelaki terdiri daripada tiga warga Kemboja termasuk tekong serta dua warga tempatan berumur antara 27 hingga 50 tahun.

banner
BOT nelayan tempatan yang ditahan APMM ketika menangkap ikan pada jarak 9.7 batu nautika dari Pantai Kemasik, Kemaman, semalam.

“Bot itu disyaki melanggar syarat lesen kerana menjalankan aktiviti menangkap ikan kurang daripada 12 batu nautika dari pantai Terengganu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut turut mendapati tiga kru warga asing berkenaan disyaki menggunakan dokumen pengenalan diri yang meragukan dan melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Susulan itu, tambahnya, bot bersama tekong dan awak-awak, hasil laut dianggarkan seberat 350 kilogram serta kira-kira 6,000 liter minyak diesel ditahan dan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia untuk tujuan dokumentasi serta siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abdul Halim menegaskan, Maritim Malaysia akan terus memperketat rondaan dan penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti perikanan haram serta memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara. – Suara Timur

Tinggalkan komen