Negara

Pelajar UM mati jatuh bangunan asrama

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar Universiti Malaya (UM) di sini, mati akibat parah selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama kediamannya di Kolej ke-13, di sini petang ini.

UM sebentar tadi dalam satu kenyataan mengesahkan kematian pelajar berkenaan.

“Universiti Malaya dengan rasa dukacita yang amat mendalam mengesahkan bahawa mahasiswa yang terlibat dalam insiden di Kolej Kediaman pada hari ini telah meninggal dunia ketika menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM),” katanya.

“Seluruh warga Universiti Malaya menzahirkan rasa sedih dan simpati yang mendalam kepada keluarga Allahyarham. Pihak universiti, melalui Jabatan Hal Ehwal Pelajar sedang menyalurkan bantuan serta memberikan sokongan sepenuhnya kepada keluarga Allahyarham bagi membantu mereka menghadapi saat sukar ini,” katanya.

UM turut memaklumkan punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa, dan pihaknya pada masa ini memberikan kerjasama penuh bagi membantu siasatan tersebut.

Universiti berkenaan dalam masa sama meminta semua pihak agar menghormati privasi keluarga Allahyarham serta tidak membuat sebarang spekulasi atau perkongsian maklumat yang tidak sahih berhubung insiden ini.

“Universiti Malaya turut menyeru seluruh warga kampus agar bersama-sama mendoakan kesejahteraan roh Allahyarham dan ketabahan keluarganya, ” katanya. – Berita Harian

Related Posts