Negara

Beri saya tempoh bertenang – Eda Ezrin

KOTA BHARU – Penyanyi Bea Soba Bea, Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, tidak mahu diganggu selepas dibebaskan atas pertuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda dan penyalahgunaan dadah dari Penjara Wilayah Narathiwat, Thailand.

Sumber terdekat wanita itu berkata, Eda Ezrin ketika ini memerlukan tempoh bertenang atau ruang sementara menunggu suaminya, Mohd. Affendi Ahmad, 35, pula dilepaskan oleh pihak polis dan imigresen di Thailand.

“Buat masa ini, Eda Ezrin tidak mahu diganggu dan memerlukan satu tempoh bertenang. Dia juga sedang menunggu suaminya untuk pulang ke negara ini.

“Eda Ezrin berharap semua pihak memahami situasinya yang baru sahaja diserahkan kepada keluarga selepas memberi keterangan di Balai Polis Rantau Panjang pada malam tadi,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Menurut sumber itu, Eda Ezrin akan berkumpul dan berjumpa dengan ahli keluarganya selepas Mohd. Affendi pulang dari Thailand.

Kosmo! Online semalam melaporkan, hanya Eda Ezrin dan rakannya, Nur Aida Mamat, 33, akhirnya pulang ke pangkuan keluarga masing-masing malam tadi.

Empat lagi rakyat Malaysia, suami kepada Eda Ezrin, Mohd. Affendi Ahmad, 35, suami Nur Aida iaitu Mohamad Alif Deraman, Eridieka Mohd. Noor, 33 dan Zuhaira Nasrin, 26, masih ditempatkan di Pejabat Imigresen Sungai Golok, Thailand.

Kedua-dua wanita yang menjalani tahanan selama sembilan bulan di Penjara Wilayah Narathiwat, Thailand itu dibebaskan selepas memberi lebih tiga jam memberi keterangan di Balai Polis Rantau Panjang dekat sini.

Nur Aida keluar dari balai itu sebelum menaiki sebuah kereta keluarganya pada pukul 11.30 malam diikuti Eda Ezrin kira-kira 10 minit kemudian.

Eda Ezrin yang memakai jubah berwarna hitam kelihatan sempat berpelukan dengan ibunya, Zahara Mamat, 47, sebaik sahaja keluar dari pintu balai polis sebelum menaiki sebuah kereta jenis Honda City Hatchback keluarga mentuanya.

Nur Aida pula dijemput oleh keluarganya yang menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan jenis Honda HR-V.

Pihak polis hanya membenarkan sebuah kereta masing-masing untuk mengambil Eda Ezrin dan Nur Aida di pekarangan balai polis itu.

Pihak media dan ahli keluarga yang lain hanya menunggu di luar balai polis.

Usaha pihak media untuk menemubual Eda Ezrin gagal apabila dia sendiri dikatakan enggan bercakap dan bertemu dengan wartawan yang berkampung di depan balai polis itu. – Kosmo

Related Posts