SHAH ALAM: Sebagai usaha meringankan beban rakyat terutama dalam aspek pendidikan dan akses kepada sumber ilmu, kerajaan melalui Kementerian Perpaduan Negara memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi Program Baucar Buku Semarak Membaca 2025.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, inisiatif tersebut juga bertujuan menggalakkan perbelanjaan domestik bagi merancakkan lagi industri perbukuan negara.
Menurutnya, usaha tersebut mendapat kerjasama rasmi daripada Shopee Malaysia yang bertindak sebagai rakan e-dagang rasmi.
“Kementerian Perpaduan Negara berterima kasih kepada pihak Shopee, sebagai rakan e-dagang rasmi Perpustakaan Negara Malaysia.
“Melalui jalinan kerjasama ini, Shopee telah bersetuju untuk memudahkan penebusan baucar, memperluas akses kepada buku berkualiti dengan harga mampu menyumbangkan baucar Shopee Live bagi mengalakkan lebih ramai rakyat Malaysia membeli buku dan membaca.
“Usaha murni ini boleh menjadi contoh kepada syarikat-syarikat lain bagi membentuk budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian.
Baucar Buku Semarak Membaca 2025 boleh ditebus di Pesta Buku Negeri yang terlibat.
Orang ramai layak menebus baucar bernilai RM10 dengan perbelanjaan minimum sebanyak RM20 dan ke atas dalam satu resit transaksi bagi buku tempatan atau penerbitan dalam negara sahaja.
Setiap orang hanya dibenarkan menebus satu baucar sahaja, bermula dari 22 April 2025 sehingga 31 Disember 2025.
Dalam pada itu, Aaron menjelaskan, Program Baucar Buku Semarak Membaca adalah usaha berterusan oleh Perpustakaan Negara Malaysia dengan kerjasama antara Persatuan Penerbit Buku Malaysia, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Persatuan Penjual Buku Malaysia dan Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia.
Katanya, program tersebut antara lain bagi membudayakan amalan membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Ia juga usaha merancakkan industri buku tempatan dengan meningkatkan jualan buku dan menggalakkan pembukaan kedai buku baharu.
“Manfaat lain, ia bagi meluaskan capaian baucar kepada pelbagai saluran, termasuk platform e-dagang dan Pesta Buku Negeri,” katanya.
Orang ramai boleh merujuk laman web https://semarakmembaca.com/ untuk sebarang maklumat lanjut. – Sinar Harian