Negara

Rakyat Malaysia ditembak di Golok meninggal dunia, parah terkena lapan das tembakan

PASIR MAS: Rakyat Malaysia yang parah ditembak individu dikenali di rumahnya di Golok, Thailand, meninggal dunia malam tadi.

Mangsa, Mohd Fuad Fahmie Ghazali, 33, meninggal dunia jam 9 malam selepas mengalami kecederaan parah.

Mangsa yang berasal dari Kampung Kepas Apam mengalami kecederaan parah akibat terkena lapan das tembakan.

Ibu mangsa, Zaiton Abdul Rahman, 64, berkata, dia dimaklumkan oleh menantunya, Wan Fatihah Mat Hussin, 35, jam 9 malam tadi.

Katanya, dia dimaklumkan mengenai kes tembakan jam 8 malam sebelum mendapat panggilan sekali lagi jam 9 malam mengatakan anaknya sudah meninggal dunia.

“Saya terkejut apabila mengetahui kejadian itu namun reda dengan ketentuan Allah. Jenazah anak akan dibawa pulang tengah hari ini,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, mangsa cedera parah selepas ditembak seorang lelaki sejurus berlaku pertengkaran.

Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sungai Golok dan suspek dikatakan melarikan diri dengan meninggalkan sepucuk pistol di lokasi kejadian. – Harian Metro

Related Posts