KUALA TERENGGANU: Keputusan kerajaan Pusat membiayai Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) sebanyak RM500 kepada 14,000 penjawat awam di Terengganu membuktikan kerajaan Madani tidak zalim seperti yang didakwa kebanyakan pemimpin dan penyokong Pas di Terengganu.
Bantuan khas itu ‘melegakan’ kebanyakan penjawat awam terutama dalam kalangan mereka berpendapatan rendah bagi membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Keputusan menyalurkan bantuan khas itu dicapai lanjutan daripada lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Terengganu pada 21 Mac lalu.
Walaupun sebelum ini, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri melebalkan kerajaan Pusat di bawah kepimpinan Anwar sebagai gagal, namun Perdana Menteri tetap berjiwa besar apabila bersetuju menghulurkan bantuan Aidilfitri untuk menceriakan penjawat awam di negeri itu.
Menurut Kementerian Kewangan, BKKA sebanyak RM500 seorang ini akan memanfaatkan lebih 14,000 penjawat awam negeri itu dan akan disalurkan sebelum Hari Raya Aidilfitri bagi menyerikan persiapan menyambut lebaran.
Antara penerima bantuan khas itu juga adalah lebih 1,000 pegawai lantikan politik yang tidak banyak membantu memacukan ekonomi negeri.
“Kerajaan Madani kekal komited dengan prinsip kesaksamaan dan pendekatan yang manusiawi agar kemakmuran negara dapat dirasai secara bersama, sejajar dengan wawasan Menaikkan Lantai dalam kerangka Ekonomi Madani.
“Semoga sumbangan ini membawa sedikit kegembiraan kepada mereka yang telah berkhidmat dengan penuh dedikasi,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan.


Bagaimanapun, penyokong Pas bertindak ‘mengecam’ kenyataan Kementerian Kewangan berkaitan bantuan khas tersebut di media sosial, bukannya berterima kasih.
Golongan tersebut termasuk pegawai lantilan politik mendakwa peruntukan bantuan tersebut merupakan ‘pitis’ kerajaan negeri daripada bayaran royalti minyak yang dipegang kerajaan Pusat.
“Duit bantuan itu adalah milik Terengganu daripada royalti minyak dan menjadi kewajiban kerajaan Pusat memberi bantuan tersebut kepada penjawat awam di negeri ini,” tulis seorang penyokong Pas di Facebooknya.
Pemimpin dan penyokong Pas itu cuba menutup kelemahan kerajaan negeri yang gagal mencari pendapatan sendiri tanpa bergantung sepenuhnya kepada kerajaan Pusat.
Sepanjang tujuh tahun pimpinan Pas memerintah Terengganu, mereka masih menuding jari kepada kerajaan terdahulu yang dikatakan juga berbelanja termasuk memberi dana raya kepada rakyat negeri ini menggunakan duit hasil royalti minyak.
Alasan sama yang diberikan dalan tempoh tersebut menunjukkan pemimpin Pas pun lemah apabila gagal merancakkan ekonomi negeri walaupun mereka sebelum ‘gah’ mendakwa mampu membawa perubahan besar di Terengganu.
Sekarang, kerajaan Terengganu diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri sepatutnya lebih kreatif dan agresif berbanding kerajaan negeri terdahulu dalam mencari ‘duit saku’ sendiri, namun mengecewakan kerana pendapatan negeri ini masih antara tercorot berbanding negeri-negeri lain.

Kedudukan Terengganu dalam carta pendapatan negeri-negeri itu menunjukkan jatuh berbanding ketika Barisan Nasional (BM) dan UMNO memerintah dulu.
Rakyat Terengganu tentu berbangga sekiranya Ahmad Samsuri berjaya melonjakan pendapatan negeri dan tidak bergantung seratus-peratus daripada duit royalti minyak dalam soal menjaga kebajikan dan sosial rakyat.
Lebih ‘manis’ sekiranya kerajaan Terengganu turut dapat mengagihkan bonus raya kepada penjawat awam menggunakan duit ‘hasil titik peluh’ sendiri.
Penjawat awam kerajaan negeri tentu lebih gembira dan teruja sekiranya kerajaan negeri juga dapat menyalurkan bantuan khas Aidilfitri sebanyak RM500 lagi sebagai tambahan daripada kerajaan Pusat sebanyak RM500, dengan menjadikannya berjumlah RM1,000.
Ini dapat dilihat apabila beberapa negeri yang tidak menerima bayaran royalti minyak mampu memberi bantuan khas Aidilfitri kepada penjawat awam dalam jumlah antara RM1,000 hingga RM1,500.
Lebih memalukan, kerajaan Perlis yang tidak mempunyai hasil yang tinggi tidak ketinggalan mengumumkan duit raya RM500 kepada penjawat awam.
Keadaan tersebut membukti kerajaan negeri lain dapat meraih pendapatan yang tinggi daripada nilai pelabur dan sumber kewangan lain.
Kemenangan besar 32-0 di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 8-0 di kerusi Parlimen tidak membawa negeri itu ke arah lebih maju dan berdaya saing. – Suara Timur