Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
DUNGUN: Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) meluluskan bajet ‘Rolling Plan’ Pertama (RP1) di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) berjumlah RM48.355 juta membabitkan 28 projek pembangunan pada tahun ini.
Pengerusi Ketengah, Datuk Rozi Mamat berkata peruntukan tersebut meliputi sebanyak 22 projek sambungan bernilai RM42.855 juta dan enam projek baharu berjumlah RM5.5 juta.
“Pada tahun 2026, Ketengah akan memperkukuhkan agenda pembangunan wilayah secara mampan melalui perancangan dan pelaksanaan program pembangunan yang lebih strategik serta berimpak tinggi selaras dengan Pelan Perancangan Strategik KETENGAH Tahun 2025-2035,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan dan Amanat Tahun Baharu 2026 di Bandar Al-Muktafi Billah Shah dekat sini hari ini.
Turut hadir Pengurus Besar Ketengah, Datuk Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa
Menurut Datuk Rozi, antara projek berkenaan ialah Kajian Pengukuhan Cerun dan Kawalan Hakisan, Pencahayaan Pintar dan Jimat Tenaga dan Ketengah Agrotech Valley.
“Selain itu, fokus turut diberikan kepada Program Pembangunan Usahawan, Digitalisasi Sistem Aplikasi Dalam Eksplorasi Pelancongan dan Menaik taraf dan Membaik Pulih Premis Perniagaan,” ujarnya.

Menurutnya, dalam tempoh sama, prestasi perbelanjaan peruntukan mengurus bernilai RM39.029 juta bersamaan 99.47 peratus daripada keseluruhan peruntukan mengurus RM39.237 juta.
Sementara itu, tambahnya, pada tahun lalu, prestasi perbelanjaan peruntukan pembangunan berjumlah RM36.436 juta bersamaan 95.09 peratus daripada keseluruhan peruntukan RM38.319 juta.
Beliau berkata, pihaknya berharap kesemua projek yang dirancang dapat disegerakan pelaksanaannya agar kumpulan sasar dalam wilayah Ketengah mendapat manfaat dan hasilnya.
Datuk Rozi berkata, pencapaian itu mencerminkan tahap kecekapan pengurusan kewangan yang baik serta komitmen tinggi seluruh warga kerja dalam memastikan peruntukan dimanfaatkan secara optimum. – Suara Timur
