Negeri

Terengganu tanam rumput Napier atas pencerobohan gajah

KUALA TERENGGANU: Cadangan tanaman rumput Napier antara akan dilaksanakan kerajaan negeri bagi menyelesaikan masalah pencerobohan gajah liar di Terengganu.

Selain itu, pemasangan pagar elektrik gajah (SPEG), penubuhan pasukan Rangers sukarela dan sistem pencahayaan juga turut dicadangkan untuk dilaksanakan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata semua kawasan pembalakan, terutama lokasi laluan gajah akan ditanam dengan rumput Napier selepas aktiviti penebangan selesai dilakukan.

Katanya, kerajaan dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) akan bekerjasama bagi mengenal pasti untuk menyediakan kawasan rayau khas untuk gajah liar sebelum ditanam dengan Napier.

“Setakat ini kerajaan sudah membelanjakan RM3.5 juta untuk pemasangan SPEG sejauh kira-kira 89.5 kilometer (km) bertujuan mengelak ancaman haiwan itu di negeri ini.

“Kita juga akan menubuhkan dua lagi pasukan Rangers sukarela masing-masing di daerah Kemaman dan Setiu sebagai langkah pencegahan awal pencerobohan gajah liar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Razali yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Kijal berkata demikian ketika mengulas Terengganu antara lima negeri yang berdepan dengan gangguan gajah liar.

Beliau berkata, penubuhan pasukan Rangers Basung yang dianggotai 60 peratus penduduk tempatan, manakala bakinya pasukan keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), pejabat daerah Hulu Terengganu dan PERHILITAN di Hulu Terengganu sejak Januari lalu berkesan menangani masalah pencerobohan gajah liar di kawasan berkenaan.

Katanya, kerajaan juga bercadang memperbanyakkan sistem pencahayaan di semua kawasan yang dikenal pasti lokasi kawanan gajah bagi mengelakkan haiwan berkenaan menceroboh dan memusnahkan tanaman penduduk. – Metro

Related Posts