Negeri

Lori bawa 70,000 biji telur terbalik di LPT2

KEMAMAN: Orang ramai berebut mengutip telur daripada sebuan lori membawa telur yang terbabas dan terbalik dirempuh sebuah lori lain di Kilometer 293.8 Lebuhraya Pantai Timur 2 selepas susur keluar Plaza Tol Chukai, hari ini.

Walaupun kebanyakan telur tersebut telah pecah, namun orang ramai tidak melepaskan peluang mengutip telur bagi mengelak pembaziran.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi, pemandu lori dan kelindannya yang berusia 40 dan 25 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kelindan lori, Mohd Izzat Izzudin, 25, berkata, lori yang dinaiki bersama rakannya terbabas ke kiri jalan dan terbalik selepas dirempuh sebuah lori barangan sejuk beku dari arah belakang ketika dalam perjalanan untuk menghantar bekalan telur dari Raub, Pahang ke Kuala Terengganu.

“Kami bawa bekalan telur kira-kira 2,500 papan dengan anggaran 78,000 biji telur. Pemilik syarikat izinkan telur ini diberikan kepada orang ramai kerana banyak juga telur yang rosak,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Salah seorang penduduk Kampung Seberang Tayor, Mohd Ariffin Othman, 66, berkata, dia bersama anaknya mengambil peluang mengutip telur yang jatuh di tepi lebuhraya itu selepas video mengenai kejadian tular di laman sosial.

“Pada awalnya saya tengok banyak kereta diparkir di tepi lebuhraya. Saya sangkakan kemalangan maut, namun bila tengok ramai orang kutip telur, saya turut sama sertai. Bagaikan rezeki terpijak, dapat juga bawa pulang telur untuk keluarga,” katanya. – Suara Timur

“Pak cik kutip banyak juga telur ini. Bolehlah digunakan untuk persiapan bulan Ramadan dan sebahagian lagi pak cik akan agihkan kepada jiran-jiran. Sayang juga kalau tak kutip telur sebab banyak telur yang masih elok walaupun perlu dipilih,” katanya.

Related Posts