KEMAMAN: Tradisi memasak bubur asyura secara bergotong-royong terus dihidupkan menerusi Program Memasak Bubur Asyura anjuran Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu (PPPKMT) Cawangan Kemaman di pekarangan pejabat persatuan itu di Jalan Penghiburan, Chukai, di sini hari ini.
Pengerusi PPPKMT Cawangan Kemaman, Rosli Amat berkata, program berkenaan melibatkan 20 ahli serta Ahli Jawatankuasa PPPKMT Cawangan Kemaman, lima anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kemaman, selain beberapa bekas Ahli
Jawatankuasa PPPKMT cawangan itu.
Beliau berkata, proses memasak bubur asyura bermula pada pukul 9 pagi dan mengambil masa antara lima hingga enam jam untuk disiapkan.

“Kami menggunakan resipi yang menggabungkan pelbagai bahan seperti lengkuas, serai, halia, daging, ayam, beras, santan serta rempah-ratus bagi menghasilkan rasa bubur asyura yang lebih enak,” katanya.
Rosli berkata, penganjuran program itu merupakan acara tahunan yang disenaraikan dalam kalendar aktiviti PPPKMT Cawangan Kemaman sebagai usaha mengeratkan hubungan silaturahim sesama ahli serta masyarakat setempat.
Beliau berkata, sebanyak tiga kawah bubur asyura dimasak dengan sasaran menghasilkan kira-kira 800 bekas untuk diagihkan kepada orang ramai.

“Daripada jumlah itu, 200 peniaga di Pasar Malam Chukai akan menerima dua bekas setiap seorang, manakala 300 bekas lagi akan diagihkan kepada pengunjung terawal pasar malam berkenaan petang ini.
Selebihnya diberikan kepada mereka yang bergotong-royong menyediakan bubur asyura untuk dibawa pulang dan dinikmati bersama keluarga,” katanya.
Rosli, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pasar Tani Chukai merangkap Pengerusi Pasar Tani Negeri Terengganu, berkata Pasar Tani Chukai turut mengadakan program gotong-royong memasak bubur asyura pada Jumaat lepas melibatkan empat kawah, sebelum diagihkan kepada para pengunjung pasar tani berkenaan. – Suara Timur
