KUALA TERENGGANU: Seorang murid lelaki Tahun Dua di sebuah sekolah di daerah ini patah tulang hidung dan retak tulang mata selepas didakwa dipukul beberapa rakan sekolah dalam kejadian pada 30 Julai lalu.
Ibu mangsa, Rifka Amelia Bustomi Sofian, 37, berkata, insiden menimpa anak keduanya itu disedari selepas kanak-kanak itu pulang ke rumah dalam keadaan hidung berdarah dan muka lebam sekitar jam 4 petang.
Menurutnya, dia segera membawa anaknya ke sebuah klinik swasta sebelum membuat pemeriksaan X-ray yang mengesahkan tulang hidung kanak-kanak itu patah.
“Anak saya pernah beritahu sering dibuli sebelum ini, tetapi saya tidak sangka sampai tahap begini.
“Dia diserang oleh sekumpulan murid, ada yang memegang tangan supaya dia tidak dapat lari, ada yang menolak dan menumbuk mukanya sehingga dia terjatuh, menyebabkan tulang hidung patah serta retak tulang di bahagian mata,” katanya ketika ditemui di pekarangan HSNZ di sini pada Rabu.
Rifka Amelia berkata, pihak klinik turut menasihatkannya supaya membuat laporan polis dan merujuk kes itu ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
“Hari ini anak saya telah menjalani rawatan di HSNZ untuk menyambung semula tulang hidung yang patah dan masih dalam pemantauan pihak hospital,” jelasnya.
Beliau berkata, kejadian itu dipercayai berpunca daripada pertukaran kelas ketika Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA).
“Kebetulan anak saya dari kelas lain dan menumpang di kelas itu. Saya diberitahu anak saya telah merosakkan sarung meja di kelas tersebut sebelum dipukul oleh beberapa murid lain.
“Anak saya dipukul oleh beberapa murid dan ada antaranya tidak dikenal pasti kerana dari kelas lain. Untuk kes sarung meja rosak itu saya telah bayar RM15 untuk menggantikan sarung baru,” katanya.
Menurutnya, ini bukan kali pertama anaknya mengalami kecederaan di sekolah dan sebelum ini pernah cedera pada mata akibat dibaling batu.
“Sebelum ini, pada Jun lalu, dia pernah dibaling batu oleh murid lain, tetapi saya tidak membuat laporan polis, namun kali ini saya putuskan untuk mengambil tindakan undang-undang.
“Saya tidak mahu ada lagi murid lain yang menerima nasib serupa dengan anak saya kerana sebelum ini telah banyak kes sebegini didakwa berlaku di sekolah ini,” ujarnya.
Menurutnya, pihak sekolah telah memanggil ibu bapa terlibat pada Isnin lalu untuk berbincang berhubung kes itu.
“Ada ibu bapa yang telah bertemu dan hantar mesej kepada saya untuk memohon maaf, namun saya difahamkan masih ada murid terlibat yang masih tidak diambil tindakan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kes itu.
“Siasatan awal mendapati kes ini dipercayai berpunca daripada ejek-mengejek.
“Kes ini telah dirujuk kepada pihak pengurusan sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD),” katanya. – Sinar Harian