Oleh MUKHATAR A RAHMAN
KEMAMAN: Sepasang suami isteri cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka melanggar sekumpulan gajah liar di Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2), Kemaman, Terengganu malam tadi.
Kemalangan berlaku kira-kira jam 9.36 minit malam tadi di kilometer 274.6, LPT2 berhampiran susur keluar ke Plaza Tol Cheneh Baru, Kemaman.
Dalam kemalangan itu, pasangan terbabit yang masing-masing berumur 55 dan 53 tahun mengalami kecederaan ringan manakala kenderaan MPV dinaiki mereka rosak teruk.

Ketika kejadian, kedua-dua mangsa dikatakan dalam perjalanan dari arah Bandar Cheneh Baru ke rumah mereka di Perumahaan Awam Kos Rendah Kampung Pasir Gajah, Kemaman.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan dipandu mangsa tidak sempat mengelak kumpulan gajah liar di atas lebuh raya itu dan terus merempuh haiwan-haiwan terbabit.
Akibat rempuhan itu, Toyota Estima dinaiki mereka remuk teruk pada bahagian hadapan dan semua mangsa berjaya di keluarkan sepasukan anggota bomba Balai Bomba dan Penyelamat Cheneh Baru.
Kedua-dua mangsa kemudiannya di bawa ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman (HK) untuk menerima rawatan dan keadaan mereka dilaporkan stabil.
Menerusi rakaman kamera papan pemuka kenderaan mereka, sekumpulan kira-kira 20 ekor gajah liar berkenaan dilihat sedang melintasi lebuh raya itu menuju ke hutan berhampiran.
Kejadian membabitkan kenderaan awam melanggar gajah liar itu merupakan yang pertama kali berlaku di lebuh raya terbabit sejak ianya dibuka lebih 13 tahun lalu.- Suara Timur
