SHAH ALAM: Lelaki yang terpalit kontroversi dipercayai melakukan amalan atau ritual agama bukan Islam ditahan, hari ini.
Penahanan lelaki berusia 21 tahun itu dilakukan bersama ibunya berusia 52 tahun yang hadir di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Kuala Lumpur kira-kira pukul 12 tengah hari.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, tangkapan itu dibuat melalui waran tangkap bersaling yang dikeluarkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam dan telah dilaksanakan JAWI.
“Kedua-dua suspek kini disiasat JAIS mengikut Seksyen 4 dan 10 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
“JAIS dijangka akan memanggil sekurang-kurangnya 14 individu lain bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan, JAIS memandang serius perkara ini dan akan memastikan setiap tindakan diambil berdasarkan bidang kuasa, undang-undang dan fakta kes.
Sehubungan itu, katanya, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan.
“Sebaliknya memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk melengkapkan siasatan,” jelasnya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang menyelaras tindakan bersama pihak berkuasa agama Islam negeri dan Polis Diraja Malaysia berhubung video tular didakwa memaparkan individu beragama Islam terlibat dalam ritual keagamaan bukan Islam.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr.Sirajuddin Suhaimee berkata, laporan berhubung isu berkenaan turut dikemukakan kepada Jabatan Agama Islam negeri untuk semakan dan siasatan lanjut.
Beliau berkata, penelitian terhadap perlakuan individu yang dikaitkan dengan isu itu akan dilaksanakan pihak berkuasa berdasarkan fakta serta undang-undang yang berkuat kuasa.
Susulan itu juga, JAIS telah memulakan siasatan mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang melibatkan kesalahan melakukan perbuatan menunjukkan pemujaan dengan cara menyalahi hukum syarak serta perbuatan menyebabkan agama Islam dipandang hina. – Kosmo
